KUALA LUMPUR – Seramai 13 lelaki warga tempatan ditahan selepas pihak polis menemui anggaran 40,000 bahan lucah kanak-kanak (CSAM) dan dewasa dalam serbuan di enam negeri, semalam.
Operasi bersepadu atau Op Pedo yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu membawa kepada tangkapan suspek di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor, dan Terengganu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi ini bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melalui aktiviti dalam talian, terutamanya di platform media sosial.
Jelas beliau, ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat, dan penyedia platform mengenai tanggungjawab melindungi keselamatan kanak-kanak.
“Menerusi operasi ini, seramai 13 lelaki berusia antara 20 hingga 74 tahun telah ditahan dan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Razarudin, pemeriksaan terhadap peranti yang digunakan di premis kediaman kesemua suspek telah menemui anggaran 40,000 bahan CSAM dan bahan pornografi dewasa.
Tambah beliau, antara peranti yang dirampas termasuk tujuh unit set komputer, satu komputer riba, 11 telefon bimbit, serta 16 modem dan router.
“Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka atas kesalahan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Turut disiasat kesalahan memiliki bahan lucah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tegas beliau, PDRM tiada kompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti jenayah ini.
“Orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak dinasihatkan agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial di dalam talian.
“Ia bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa,” katanya.-KOSMO! ONLINE.