MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengesahkan tujuh individu termasuk seorang bayi perempuan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa lain yang maut adalah empat penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, manakala dua lagi adalah pemandu serta penumpang sebuah bas persiaran.
Pengarah JBPM Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, jumlah keseluruhan mangsa terlibat adalah seramai 40 orang dengan tujuh daripadanya telah disahkan meninggal dunia.
“Seramai 33 orang yang lain telah dihantar ke Hospital Melaka dan Alor Gajah serta sebuah hospital swasta kerana mengalami kecederaan dalam kemalangan ini.
“Jadi setakat ini kita mengambil masa lebih kurang dalam empat jam dan operasi ini semua sudah terkawal dan proses mengalihkan bas, treler, MPV serta muatan pakaian terpakai yang tercampak daripada treler itu sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, semua mangsa yang maut telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan setakat ini pihaknya percaya tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas berkenaan.
Kemalangan tersebut menyebabkan trafik sesak sejauh 10 kilometer dari kedua-dua arah dengan laluan dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menghala ke utara ditutup sepenuhnya serta dilencongkan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat penuh berkaitan nahas tersebut termasuk identiti kesemua mangsa yang terlibat. KOSMO! ONLINE