PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Fadzlenna Ramli, 32, seorang daripada mangsa nahas
di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) malam tadi.
Ucapan tersebut dimuat naik oleh beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.
“Salam takziah buat keluarga Almarhumah dan doa buat seorang lagi petugas Kementerian Kesihatan yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah SWT permudah segala urusan,” katanya.
Selain itu, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang turut memaklumkan perkhabaran kematian Fadzlenna yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Obstetrik & Ginekologi di hospital tersebut.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Hospital Sultan Idris Shah, Serdang telah kehilangan seorang warga kerja berwibawa. Sesungguhnya pemergian arwah amat dirasai oleh seluruh warga kerja hospital.
“Pihak Pengurusan Tertinggi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan seramai tujuh mangsa maut, manakala 33 lagi cedera dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), Melaka malam tadi.
Nahas tersebut dipercayai berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut di lorong tengah lebuh raya menyebabkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang dari arah utara ke selatan gagal mengelak dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Mangsa yang maut adalah Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan isteri Fadzlenna Ramli, 32, serta anak mereka, Muhammad Umar, 2. Dua lagi mangsa adalah ibu bapa kepada Fadzlenna iaitu Ramli Ab. Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66. – KOSMO! ONLINE