ALOR GAJAH – Waris lima sekeluarga yang terkorban dalam nahas di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini malam tadi tidak menyangka laporan berita berkenaan kemalangan ngeri itu membabitkan ahli keluarga mereka.
Menurut Nur Aqila Mazupi, 30, dia hanya mengetahui kejadian menyayat hati yang menimpa keluarga abangnya, Khairul Izwan, 32, selepas melihat laporan berita lewat malam tadi.
Katanya, dia segera menghubungi pihak polis selepas melihat salah sebuah kenderaan yang terlibat adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki abangnya bersama tujuh yang lain.
“Saya mengetahui kejadian nahas selepas melihat berita sebelum menghubungi polis untuk mengesahkan nombor plat dan jenis kenderaan.
“Mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Selangor selepas meluangkan masa bersama keluarga kakak ipar di Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.
Khairul Izwan bertugas sebagai Penolong Jurutera Pergigian di Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kuala Lumpur.
Nahas turut mengorbankan isteri Khairul Izwan, Fadzlenna Ramli, 32, anak pasangan itu, Muhammad Umar, 2, bapa Fadzlenna, Ramli Ab. Wahab, 66, serta seorang lagi yang identitinya belum dikenal pasti.
Dua lagi nak pasangan tersebut iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, terselamat, namun masing-masing cedera parah dan juga ringan.
Tambah Nur Aqila, paling menyedihkan apabila pasangan suami isteri tersebut sempat mengadakan majlis sambutan hari jadi untuk ketiga-tiga anak mereka kira-kira dua minggu lalu.
“Sebelum ini mereka tidak pernah diraikan begitu (dalam satu majlis).
“Waktu kami berjumpa pada pagi Sabtu lalu sebelum mereka bertolak ke Melaka, Muhammad Umar begitu bersungguh-sungguh melambai sebelum hilang dari pandangan,” ujarnya sebak.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tujuh individu terkorban dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan termasuk sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, MPV Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.
Dalam nahas itu turut terkorban adalah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, serta penumpang bas persiaran itu yang belum dikenal pasti identitinya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kemalangan itu berlaku selepas tayar lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun dipercayai tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya sebelum dirempuh bas persiaran. – KOSMO! ONLINE.