JOHOR BAHRU – Jenazah pemandu bas persiaran yang maut dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Melaka malam tadi selamat dikebumikan pada pukul 5.30 petang.
Allahyarham Noorisnien Khamid, 56, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya di Kempas Lama, di sini.
Terdahulu, solat jenazah Allahyarham disertai oleh kira-kira 100 jemaah selepas solat Asar di Masjid Jamek Al-Falah, Kampung Maju Jaya.
Dalam kejadian pada pukul 8.45 malam itu, tujuh orang termasuk lima sekeluarga maut, manakala 33 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan.
Kenderaan yang terlibat adalah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, treler, lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan kereta Perodua Bezza. – KOSMO! ONLINE