fbpx

Nahas ngeri Melaka: Anak arwah sebak, tidak sempat laksana permintaan bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Norzuhairi Noorisnien menyiram air di kubur ayah mereka selepas selesai urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Anak-anak kepada pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, yang terlibat kemalangan maut di Melaka, malam semalam sebak kerana tidak sempat melaksanakan permintaan terakhir ayah mereka, sejak Oktober lalu.

Siti Norizyan Noorisnien, 30, berkata, arwah ayahnya bersungguh-sungguh meminta agar dia dan adik beradiknya yang lain menguruskan pertukaran nama aset-aset miliknya kepada mereka.

“Dia memang bersungguh-sungguh suruh anak-anak ambil kenderaan dan tukar nama, tetapi kami jauh dan masing-masing juga sudah memiliki kenderaan.

“Masa itu kami rasa tidak penting tetapi apabila jadi macam ini rasa sebak, kami tidak pernah terfikir benda ini akan berlaku sedangkan dia telah pesan sejak bulan 10 lalu,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas jenazah ayahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya di Kempas Lama, di sini.

Tambah Siti Norizyan, dia menerima mesej daripada pelbagai pihak memaklumkan ayahnya terlibat dalam kemalangan maut dan telah meninggal dunia, malam semalam.

“Ketika itu masih belum ada pengesahan polis, jadi saya menelefon tiga buah hospital di Melaka dan bertanyakan nama ayah di wad kecemasan namun tidak didaftarkan.

“Jadi ketika itu saya telah terfikir mungkin abah berada di unit forensik (telah meninggal dunia),” jelas ibu kepada seorang anak perempuan berusia 4 tahun itu.

Sementara itu, anak sulung kepada Allahyarham, Mohamad Norzuhairi Noorisnien, 33, pula memberitahu, ayahnya merupakan seorang lelaki yang pendiam, namun kadangkala kelakar.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan bapanya adalah melalui aplikasi WhatsApp, Rabu lalu manakala kali terakhir mereka bertemu pada Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI