MONZA – Juventus kembali menemui sentuhan kemenangan dalam aksi Serie A selepas menewaskan pasukan tercorot, Monza 2-1 dengan jaringan daripada Weston McKennie dan Nicolas Gonzalez menamatkan rentetan empat seri berturut-turut.
Kemenangan itu menempatkan Juventus di tangga keenam dengan 31 mata, sembilan mata di belakang pendahulu liga, Atalanta yang menang 3-2 ke atas Empoli sementara Monza kekal di tangga tercorot.
Meskipun Juventus masih tanpa kalah dalam aksi Serie A selepas mengharungi 25 perlawanan, 10 keputusan seri sebelum ini menjadi penghalang untuk mereka bersaing merebut kejuaraan.
“Kemenangan adalah perkara paling penting. Kami mengalami terlalu banyak keputusan seri, jadi tiga mata ini sangat bermakna untuk kami, penyokong dan keluarga.
“Menjaringkan gol atau memberi bantuan gol bukanlah perkara utama kerana yang penting adalah pasukan berjaya menang,” kata McKennie.
Dalam aksi tersebut, Samuele Birindelli sempat menyamakan kedudukan buat Monza lapan minit selepas McKennie membuka tirai jaringan pada minit ke-14 sebelum Gonzales meledak gol kemenangan buat Juventus.
“Saya sangat gembira terutamanya kerana kemenangan ini sangat penting untuk pasukan. Selepas pulih daripada kecederaan, kembali ke padang adalah perasaan yang luar biasa. Kami berada di landasan yang betul dan mesti terus seperti ini,” ujar Gonzalez.
Pengendali Juventus, Thiago Motta menggunakan Gonzalez dalam peranan trequartista dalam beberapa perlawanan terakhir menjadi taktikal yang memberikan hasil positif kepada pasukan. – AGENSI