KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki tempatan susulan kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua suspek yang berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing sekitar ibu negara dan Ampang, Selangor, hari ini.
“Mereka kini direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di sebuah stesen LRT.
Pihak polis mengesahkan menerima aduan kejadian itu daripada seorang anggota polis bantuan yang memaklumkan kejadian berlaku di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan.
Kejadian berlaku apabila sekumpulan penyokong keluar dari tren dan berlaku pertengkaran dengan sekumpulan penyokong lain sebelum berlaku pergaduhan.
Kemudian dua kumpulan penyokong bola sepak anggaran 20 hingga 30 orang bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren.
Perbuatan itu mengakibatkan berlaku kerosakan pada bahagian pintu cermin tren serta menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit. – KOSMO! ONLINE