JAKARTA – Seorang doktor wanita di Medan, wilayah Sumatera Utara membelasah seorang penjual roti gara-gara tidak berpuas hati terhadap intinya yang sedikit, lapor laman berita Detik hari ini.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), doktor tersebut muncul secara tiba-tiba lalu melempar bungkusan roti ke arah penjual berkenaan.
Dia terus menarik rambut penjual roti bernama Fitra Samosir dan memukulnya tanpa henti serta turut menendang mangsa.
Mangsa berkata, pada hari kejadian, doktor tersebut ada datang membeli roti bakar di gerainya pada waktu petang.
“Dia memang ada datang membeli roti pada waktu petang. Dia memesan roti bakar Bandung coklat keju,” kata Fitra sambil menambah, kejadian berlaku pada pukul 7 malam (waktu tempatan).
Ujar Fitra, sebelum doktor itu berlalu pergi, dia ada bertanya punca wanita berkenaan menyerangnya secara tiba-tiba.
“Sebelum pergi barulah dia memberitahu bahawa inti roti bakar itu sedikit,” katanya.
Doktor tersebut pada tahun lalu pernah mengundang kontroversi apabila video dia bertengkar dengan seorang wanita lain berhubung tempat parkir di hospital menjadi tular.
Dalam pada itu, Fitra membuat laporan polis berhubung serangan tersebut. – AGENSI