fbpx

Asma didakwa tuntut cerai terhadap Bashar al-Assad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 25 Mei 2023 menunjukkan Asma memetik bunga ros di kampung al-Marah di luar Damsyik. – AFP

LONDON –  Isteri kelahiran United Kingdom(UK) kepada diktator Syria, Bashar al-Assad yang ditumbangkan telah memfailkan perceraian, demikian menurut beberapa laporan seperti dinyatakan akhbar The Sun semalam.

Asma al-Assad, 49, dan suaminya berlindung di Moscow selepas terpaksa hidup dalam buangan selepas kumpulan pemberontak menggulingkan Bashar.

Bagaimanapun, bekas wanita pertama pernah dikenali sebagai ‘Mawar Padang Pasir’ itu dikatakan tidak berpuas hati hidup terkongkong di bawah kawalan rejim Vladimir Putin di Russia dan mahu kembali ke UK.

Dia juga didakwa menuntut cerai daripada Bashar yang dikenali pada awal tahun 1990-an ketika bercuti di Syria.

Mereka mula menjalinkan hubungan cinta ketika Bashar berpindah ke London untuk memulakan latihan sebagai doktor mata.

Pasangan itu berkahwin dalam tahun 2000, tahun sama Bashar tiba-tiba mewarisi pemerintahan kuku besi Syria selepas abangnya, Bassel meninggal dunia dalam  kemalangan kereta.

Bagaimanapun, Asma kini mengemukakan permohonan di sebuah mahkamah Russia untuk kebenaran meninggalkan negara itu dan suaminya, lapor akhbar Jerusalem Post.

Permohonan Asma sedang dipertimbangkan oleh pihak berkuasa Russia, kata Jerusalem Post.

Bashar dan keluarganya dipercayai berada di bawah sekatan ketat di Moscow dengan dia dilarang meninggalkan bandar raya itu atau terlibat dalam aktiviti politik.

Aset dan wang Bashar di Russia juga dilaporkan telah dibekukan. Bagaimanapun, dia didakwa membawa bersama 270 kilogram emas dan wang £1.6 bilion (RM8.9 bilion) ke Moscow.

Bashar dan kaum kerabatnya dipercaya memiliki berpuluh-puluh apartmen di ibu kota Russia itu.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menolak laporan bahawa Asma memfailkan perceraian.

“Tidak, laporan ini tidak mencerminkan realiti,” kata Peskov.

Bashar dan keluarganya ditawarkan tempat perlindungan selamat oleh Putin. Presiden Russia membawa pemimpin yang digulingkan itu meninggalkan Damsyik pada 8 November lalu, tidak lama sebelum Syria jatuh ke tangan pemberontak.

Asma dan tiga anak pasangan itu telah pun berada di Russia. Dia dilaporkan menjalani rawatan leukemia. 

Menurut beberapa laporan, Asma memilih untuk mendapat rawatan di UK. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI