PETALING JAYA – Agrobank menggesa pesawah padi yang berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di seluruh negara menyertai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) secepat mungkin sebagai perlindungan daripada sebarang bencana luar jangka.
Skim takaful tanaman padi adalah bentuk perlindungan yang penting bagi para pesawah, terutamanya dalam menghadapi risiko-risiko yang tidak dapat dijangka seperti bencana alam banjir atau kemarau, serta serangan penyakit atau serangan makluk perosak.
Menurut Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin,”STTP membantu memastikan kelangsungan dan keberlanjutan tanaman padi sekiranya berlaku sebarang bencana.
Menurut beliau, tanpa perlindungan yang mencukupi, pesawah mungkin terpaksa menanggung kerugian yang besar menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan aktiviti pertanian mereka.
“Pesawah hanya perlu melengkapkan borang Cadangan Takaful dan pembukaan akaun Agrobank (sekiranya belum mempunyai akaun Agrobank) di PPK atau cawangan Agrobank berdekatan untuk memanfaatkan skim ini. Ianya sungguh mudah dan cepat.
”Sehingga bulan November lalu, Agrobank telah menerima lebih 30,000 ribu pendaftaran daripada para pesawah di seluruh negara dan kami jangkakan bilangan tersebut akan terus meningkat kesan daripada banjir yang melanda di beberapa negeri baru-baru ini.” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Skim ini menawarkan perlindungan kewangan sehingga RM3,000 bagi setiap hektar semusim kepada pesawah yang mengalami kerosakan tanaman akibat bencana alam seperti banjir atau kemarau.
Selain itu, bagi serangan penyakit dan makhluk perosak, perlindungan sehingga RM1,500 ditawarkan bagi setiap hektar semusim. -KOSMO! ONLINE