KUCHING – Empat nelayan warga asing ditemukan selamat manakala dua lagi masih hilang selepas kapal mereka karam di Pulau Burong di sini, kelmarin.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata tiga daripada mangsa yang selamat iaitu dua warga Indonesia dan seorang warga Kemboja diselamatkan oleh kapal nelayan lain di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pulau Burong dan dibawa ke Jeti Kampung Goebilt kira-kira pukul 6 petang semalam.
Manakala, katanya seorang lagi warga Kemboja dijumpai oleh nelayan tempatan di kawasan perairan Asajaya pada pukul 3.30 pagi, hari ini dan telah dibawa ke Klinik Asajaya untuk rawatan.
“Ops CARILAMAT diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang masing-masing warga Thailand dan Kemboja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kamal berkata keenam-enam nelayan itu dilaporkan keluar ke laut pada 17 Disember lalu sebelum tidak dapat dihubungi dan dipercayai karam di Pulau Burong.
Katanya berdasarkan laporan yang diterima pada pukul 6.43 petang kelmarin oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuching, pihaknya segera mengaktifkan Ops CARILAMAT pada pukul 7.10 petang hari yang sama dengan mengatur gerak aset Bot Pengawal 42 ke lokasi kejadian.
Beliau menambah Ops CARILAMAT turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kamal berkata lokasi terakhir kapal nelayan terbabit dilaporkan adalah di kedudukan 7.5 batu nautika Timur Laut Tg. Sipang sebelum mengalami kebocoran di bilik enjin.