fbpx

244 kg syabu bernilai RM7.8 juta dirampas di Setiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairi (kiri) menunjukkan sebahagian dadah disyaki syabu yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPD Setiu hari ini.

SETIU – Polis Terengganu berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah buat kali ketiga dalam tempoh kurang dua bulan dengan rampasan terbaharu syabu seberat 244 kilogram (kg) di Kilometer (KM) 62, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Rahmat di sini pada kelmarin.

Dadah bernilai keseluruhan RM7.8 juta yang merupakan rampasan terbesar di Terengganu pada tahun ini berkenaan dijumpai di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna mewah, Toyota Vellfire pada pukul 9 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, kenderaan tersebut yang didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan telah ditahan sepasukan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di lokasi kejadian.

“Sebaik dihampiri pasukan polis trafik, pemandu kenderaan itu yang merupakan lelaki berusia 30-an terus memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum melarikan diri ke kawasan kebun sawit berhampiran.

“Sebaik pintu kenderaan Toyota Vellfire tersebut berjaya dibuka dengan bantuan bomba pada pukul 4.10 petang, sebanyak 69 paket plastik berisi dadah disyaki syabu telah dijumpai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, rentetan itu, sebuah kenderaan pikap jenis Mitsibushi Triton yang dinaiki seorang lelaki yang disyaki berkaitan sindiket sama telah ditahan di hadapan sebuah kedai tayar di Kampung Rahmat tidak lama kemudian.

Tambah beliau, suspek enggan berhenti malah cuba merempuh anggota polis bertugas menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar kenderaan tersebut.

“Suspek berjaya melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berhampiran. Pemeriksaan di dalam kenderaan Mitsibushi Triton yang dibuka dengan bomba kemudiannya menjumpai nombor pendaftaran asal kenderaan Toyota Vellfire.

Mohd. Khairi berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut yang dapat memenuhi keperluan 1.2 juta penagih terbabit dibawa masuk dari negara jiran untuk dibawa ke pasaran Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI