fbpx

Zahrah teruja kongsi ilmu digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHRAH mengetuai aktiviti Bengkel Asas Penyuntingan Canva kepada para peserta.

BERKAT usaha gigih dan semangat juang yang tinggi, Fatimatul Zahrah Mohd. Zainal berjaya membuktikan bahawa anak muda mampu menyumbang bakti kepada masyarakat dengan cara kreatif.

Baru-baru ini, mahasiswi yang mesra disapa Zahrah itu telah mengetuai penganjuran Bengkel Asas Penyuntingan Canva di Surau An-Nur Villa Mutiara, Beranang, Selangor.

Bengkel yang dianjurkan dengan kerjasama pelajar Universiti Malaya (UM) dan Surau An-Nur Villa Mutiara itu berjaya menarik minat peserta daripada pelbagai latar belakang dan usia.

Ia disertai oleh kanak-kanak seawal usia 12 tahun hingga warga emas berusia 69 tahun.

“Bagi saya, teknologi moden bukan lagi pilihan tetapi keperluan pada zaman sekarang.

“Melalui bengkel ini, saya mahu masyarakat celik teknologi dan menggunakan platform seperti Canva untuk meningkatkan kemahiran rekaan digital,” ujarnya kepada iGen.

Pada usia 25 tahun, pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Harta Tanah, Fakulti Alam Bina, UM itu bukan sahaja pelajar cemerlang, malah dia seorang perunding hartanah berdaftar di IQI Realty Sdn. Bhd..

Zahrah menyifatkan bengkel tersebut sebagai satu platform untuk dia dan rakan-rakannya menyumbang ilmu serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Dia percaya mahasiswa perlu menjadi modal insan holistik, bukan sahaja cemerlang akademik, bahkan aktif dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Jadilah seperti pohon yang rendang, akarnya kukuh, daunnya rimbun dan buahnya dinikmati semua.

“Ilmu itu bukan untuk disimpan, tetapi dikongsi. Keberkatan hidup terletak pada manfaat yang kita beri kepada orang lain,” ujarnya.

Jelasnya, peserta diberi pendedahan asas mengenai penggunaan aplikasi Canva iaitu sebuah platform reka bentuk grafik yang kini menjadi alat penting dalam dunia digital.

Modul bengkel meliputi susun atur rekaan, pemilihan warna dan pemilihan font yang sesuai untuk mencipta kandungan visual menarik dan berkualiti.

“Tujuan utama kami adalah untuk memperkenalkan asas penyuntingan grafik kepada mereka yang tidak pernah menggunakan atau hanya mengetahui asas.

“Ini bagi membolehkan mereka menghasilkan rekaan unik dan bermakna untuk perniagaan, pendidikan atau kegunaan peribadi.

“Maklum balas daripada peserta sangat memberangsangkan.

“Ramai mengakui, bengkel ini dapat membantu mereka dalam meningkatkan keyakinan mencipta dan berkongsi karya visual.

“Terutamanya, bagi mereka yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau ingin menambah nilai dalam pendidikan digital dan teknologi,” katanya.

Zahrah (depan, empat dari kanan) bergambar bersama peserta dan ahli jawatankuasa Surau An-Nur Villa Mutiara, Beranang, Selangor.

Tambahnya, bengkel itu bukan sekadar satu program, tetapi langkah kecil ke arah perubahan besar.

Ulasnya, bengkel itu dapat menghubungkan masyarakat melalui ilmu, teknologi dan rasa tanggungjawab sosial.

Zahrah percaya bahawa usia muda bukan penghalang untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

Baginya, usaha itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial sebagai mahasiswa dan individu Muslim.

“Kita dituntut untuk berkongsi ilmu dan bersedekah. Mungkin kecil bagi kita, tetapi besar nilainya bagi mereka yang memerlukan.

“Sedekah adalah pelaburan akhirat yang tidak pernah rugi,” katanya.

Katanya, selain daripada membangunkan kemahiran teknologi peserta, bengkel itu turut membawa misi murni untuk menggalakkan sumbangan kepada tabung pembangunan Surau An-Nur Villa Mutiara.

Sumbangan yang dikumpul akan digunakan untuk memperbaiki dan menaik taraf kemudahan surau demi manfaat masyarakat setempat.

“Mungkin sumbangan kita kecil, tetapi ia boleh menjadi besar bagi yang mereka memerlukan.

“Dalam Islam, kita diajar bahawa sedekah itu tidak akan mengurangkan rezeki.

“Malah, ia adalah pelaburan yang tidak pernah rugi,” katanya sambil menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Pembangunan Surau An-Nur Villa Mutiara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI