PETALING JAYA – Kemalangan melibatkan sebuah lori treler dengan bas persiaran serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuh Raya Utata-Selatan dari Ayer Keroh menghala Simpang Ampat menyebabkan aliran trafik sesak hingga berlaku kelewatan selama empat jam.
Menerusi perkongsian pengguna media sosial, kemalangan tersebut dikatakan telah mengorbankan nyawa beberapa individu selain ramai yang alami kecederaan.
“Kemalangan Lebuh Raya Utara-Selatan di Air Keroh arah utara, al- Fatihah buat mangsa yang meninggal. Hati-hati dalam pemanduan,” kata seorang pengguna Facebook.
“Dari Melaka nak balik KL tak lepas. Empat jam dah. Ada kemalangan libat lori, bas dan kereta. Ada mangsa meninggal dunia, ada yang putus dua. Allah, ngeri. Hati-hati yang memandu semua,” kata Syukor.
Sementara itu, Astro Radio Trafik melaporkan, kemalangan terbabit berlaku di Kilometer (KM) 204.0 menyebabkan kesemua lorong terhalang melibatkan kedua-dua arah.
“Sebagai alternatif, pemandu arah utara dinasihat keluar di Plaza Tol Ayer Keroh, melalui Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin dan masuk semula di Plaza Tol Simpang Ampat,” katanya. – KOSMO! ONLINE