fbpx

[VIDEO] ‘Kami tidak berlumba, saja jalan-jalan malam waktu cuti sekolah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengeluarkan saman terhadap Amir (kiri) selepas ditahan di Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, Kota Bharu awal pagi tadi.

KOTA BHARU – Dua beradik memberi alasan mereka mahu memenuhi masa lapang sempena cuti persekolahan apabila dicekup polis selepas dipercayai terlibat dengan lumba haram di sepanjang kira-kira 10 kilometer Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai di sini tengah malam tadi.

Kedua-dua beradik itu antara kira-kira hampir 100 penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Menurut remaja yang dikenali sebagai Amir, 15, dia bersama abang dan lima lagi rakan masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sejauh lebih 50 kilometer dari Tok Bali, Pasir Puteh dekat sini untuk kononnya menyertai acara bermotosikal di lebuh raya tersebut.

Menurutnya, dia bersama rakan-rakan lain menikmati makan malam di sebuah kedai nasi berlauk di Ketereh di sini sebelum datang ke kawasan lebuh raya tersebut.

“Saya tidak tahu ada lumba motosikal di sini. Saya hanya ikut kawan-kawan. Lagi pun, cuti sekolah baru mula. Saya bosan duduk di rumah dan mahu memenuhi masa lapang pada waktu malam.

“Motosikal Yamaha Y15 ini ibu saya belikan atas nama abang ipar. Kakak saya tahu saya datang ke Kota Bharu untuk bersiar-siar. Bukan untuk berlumba,” alasannya ketika ditemui pemberita selepas ditahan polis awal pagi tadi.

Amir memberitahu, dia menerima beberapa saman polis antaranya melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, mengubah suai motosikal, tiada cermin pandang belakang dan tiada nombor pendaftaran.

Dalam operasi itu, pihak polis bertindak menutup laluan dua kawasan hujung lebuh raya tersebut di Buloh Poh dan Padang Enggang di sini selain simpang di Perol semasa hampir 100 motosikal masuk ke jalan tersebut untuk berlumba.

Keadaan itu menyebabkan mereka terkepung di kawasan lebuh raya itu sehingga ada yang mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan untuk lolos, namun tetap dicekup pihak polis.

Sementara itu, abang kepada Amir iaitu dikenali Azmi, 17, berkata, dia tidak mengaku terlibat dengan kegiatan lumba haram dan turut memberi alasan datang bersiar-siar semasa musim cuti persekolahan.

Menurutnya, meskipun sedang dalam fasa persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia tetap mahu mengikut rakan-rakan bersiar-siar ke Kota Bharu pada musim cuti persekolahan.

“Tiada apa yang boleh dibuat di rumah. Saya ajak adik dan rakan-rakan datang ke Kota Bharu. Walaupun tiada lesen memandu, saya dapat sampai ke sini.

“Bukan mahu sertai lumba haram. Saja mahu jalan-jalan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar sekolah, Hadi, 17, berkata, dia hanya mahu melihat kegiatan lumba motosikal di lebuh raya itu, namun tidak menyangka ditangkap polis.

“Saya datang ke sini untuk tengok orang berlumba sahaja. Katanya ramai yang berlumba motosikal di sini pada malam hari bekerja. Tiba-tiba ada operasi polis pula malam ini (tadi),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI