GEORGE TOWN – Dua nelayan dari Pulau Pinang yang hanyut selama enam hari hanya menjamah ikan mentah dan air laut sebelum diselamatkan nelayan asing di perairan Aceh, Indonesia.
Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25, memakan ikan mentah itu selama dua hari.
Sebelum itu, kedua-dua mereka langsung tidak mengisi perut dan hanya menghabiskan bekalan nasi yang dibawa pada hari pertama bot mereka mula mengalami kerosakan pada malam Isnin lalu.
Menceritakan semula pengalaman sepanjang hanyut di laut, Muhammad Ikmal berkata, dia dan rakannya umpama mati hidup semula apabila diselamatkan oleh nelayan.
“Waktu itu (bot hanyut) kami hanya berserah kepada takdir sepanjang berada di laut.
“Hari pertama hanyut kami makan bekal (nasi). Selepas bekal habis kami berpuasa selama tiga hari, tetapi lepas itu kami terpaksa juga makan untuk survival kerana membayangkan tiada ada siapa yang menjumpai kami.
“Seumur hidup, saya tidak pernah memakan ikan cencaru dan temenung mentah. Saya muntah sebanyak dua kali selepas menjamah ikan mentah, tetapi saya tetap telan juga untuk bertahan di laut,” katanya ketika ditemui di Jeti Limbongan Batu Maung, di sini hari ini.
Menurut Muhammad Ikmal, dia dan rakannya keluar ke laut pada pukul 6 petang, Isnin lalu sebelum dibadai ribut menyebabkan peralatan kapal rosak kira-kira pukul 12 malam, Selasa lalu.
“Ketika ribut semakin ganas, kami cuba menghidupkan enjin bot tetapi gagal kerana tali ‘starter’ enjin terputus. Kami terpaksa menarik tali secara manual, tetapi ombak kuat menyukarkan lagi usaha kami.
“Malam itu hujan lebat jadi air mula masuk ke dalam bot. Kami terpaksa membuang pukat bagi mengimbangi bot dan elakkan bot karam,” katanya.
Dia memaklumkan, mereka juga terpaksa berlindung di bawah pukat ketika ombak besar membadai.
Cerita pemuda itu, sepanjang hanyut di lautan, mereka melihat banyak kapal-kapal kargo dan cuba memohon bantuan namun ada kru yang bertindak mengacukan kayu kerana menyangka mereka berdua adalah lanun.
Tambah Muhammad Ikmal, penantian dan detik mencemaskan mereka di tengah laut bagaimanapun berakhir pada hari keenam selepas diselamatkan nelayan dari Aceh yang melihat bot terumbang-ambing. -KOSMO! ONLINE