KYIV – Ukraine mengalami masalah kelemahan anggota tentera yang tidak mampu berperang dengan baik dan cekap ketika negara itu menghampiri tiga tahun dalam konfliknya dengan Russia, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Perekrut tentera melakukan serbuan-serbuan ke atas restoran dan bar untuk ‘menangkap’ penduduk lelaki yang layak berperang bagi tujuan mengisi kelompongan barisan pertahanan yang kian tegang.
Satu siri temu bual dengan beberapa pegawai Ukraine yang bercakap dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan, menjelaskan mengenai isu tersebut.
“Anggota yang kita miliki sekarang tidak seperti mereka yang berada di barisan hadapan pada awal perang,” kata seorang askar yang kini berkhidmat dalam briged pertahanan wilayah ke-114 Ukraine.
“Baru-baru ini, kami menerima 90 anggota baharu tetapi hanya 24 daripada mereka yang bersedia untuk berpindah ke kedudukan-kedudukan ‘panas’.
“Selebihnya adalah sudah berusia, sakit atau mempunyai masalah ketagihan alkohol.
“Sebulan yang lalu, mereka berjalan-jalan di sekitar Kyiv atau Dnipro dan kini, mereka berada di dalam parit di barisan hadapan dan hampir tidak pandai memegang senjata. Mereka kurang terlatih dan kurang kelengkapan,” katanya.
Dua sumber dalam unit pertahanan udara pula memberitahu The Guardian bahawa kekurangan anggota barisan hadapan kini menjadi sangat teruk. Ia sehinggakan unit pertahanan udara diarah mengerahkan lebih ramai anggotanya untuk dihantar ke barisan hadapan dalam unit infantri.
“Ia mencapai tahap kritikal di mana kita tidak dapat memastikan sama ada pertahanan udara boleh berfungsi dengan baik,” kata salah seorang sumber sambil menambah, dia terpaksa bersuara kerana bimbang situasi itu menjadi risiko kepada keselamatan Ukraine.
“Anggota-anggota itu tahu bagaimana pertahanan udara berfungsi, malah ada yang telah dilatih di Barat dan mempunyai kemahiran sebenar.
“Namun kini, mereka dihantar ke barisan hadapan untuk berperang, yang mana mereka tidak mempunyai latihan dalam selok-belok tersebut,” tambahnya.
Pada bulan lalu, seorang ahli Parlimen Ukraine yang lantang bersuara dan kontroversi, Mariana Bezuhla berkata dalam catatan di aplikasi Telegram bahawa tentera pertahanan udara dipindahkan ke unit infantri.
Ujarnya, ia membawa kepada kadar kejayaan yang lebih teruk bagi tentera Ukraine dalam menembak jatuh dron Russia.
Jurucakap pasukan pertahanan udara, Yurii Ihnat kemudian mengesahkan kenyataan tersebut pada masa itu dengan berkata bahawa pemindahan sememangnya berlaku dan ia ‘amat parah’.
Sementara itu, seorang lagi sumber pegawai pertahanan udara berkata, keadaan tersebut sudah berlanjutan selama setahun dan ia kini menjadi semakin teruk.
“Saya ditinggalkan bersama anggota yang berumur 50 tahun ke atas dan askar yang cedera. Mustahil untuk menjalankan operasi seperti ini,” katanya.
Bulan-bulan pertama perang berskala penuh meletus pada Februari 2022 menyaksikan ramai penduduk Ukraine secara sukarela bersedia untuk menjadi askar, manakala beratus-ratus ribu orang dengan rela hati menuju ke barisan hadapan.
Namun, pengerahan menjadi cabaran utama untuk Kyiv sejak tahun lalu dengan skuad pegawai rekrut terpaksa berkeliaran di jalanan dan mengedarkan kertas panggilan.
Masalah kekurangan anggota turut menjejaskan hubungan antara Kyiv dan Washington sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pegawai pentadbiran Presiden Joe Biden dilaporkan berasa jengkel kerana Presiden Volodymyr Zelenskyy sering mendesak bantuan senjata lebih banyak ketika ia gagal mengerahkan tenaga kerja yang diperlukan. – AGENSI