MELAKA – Buat pertama kalinya, karya agung Sulalatus Salatin yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu dipentaskan sepenuhnya melalui teater purbawara bermula dari Raja Iskandar Zulkarnain hingga jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 di Panggung Seri Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka berakhir semalam.
Pementasan karya agung itu selama tiga hari sejak Jumaat lalu dianggap langkah paling tepat kerana Melaka dikenali sebagai negeri yang penuh dengan tinggalan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.
Siapa pun tidak menyangka pementasan karya tersebut yang diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke atas pentas teater adalah satu langkah berani.
Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata, pementasan karya agung itu juga membuka peluang kepada golongan muda menghayati naskhah hebat dalam bentuk yang lebih mudah difahami dan menyeronokkan.
Menurutnya, teater tersebut yang merupakan kolaborasi JKKN Melaka bersama Persatuan Gerakan Anak Seni dan CTRA Production mendapat sokongan hasil Inisiatif Belanjawan 2024 oleh
Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai salah satu bentuk pementasan naskhah karya agung.
Katanya, teater tersebut menyentuh asal-usul kemaharajaan maritim yang bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah, Raja Suran yang mengembara ke alam lautan.
“Ia merangkumi kisah kuda semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, kisah Tun Jana Khatib di Temasek dan kebijaksanaan Hang Nadim sehingga Singapura dilanggar todak.
“Ia turut merangkumi kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, keadaan Melaka di zaman gemilang hinggalah runtuhnya empayar Melaka.
“Naskhah Sulalatus Salatin ini telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO pada 2012 serta sudah mencecah 32 salinan seluruh dunia.
“Teater purbawara merujuk kepada drama satu babak yang mengisahkan cerita kuno muzikal yang dipentaskan ini berkisarkan tentang kemaharajaan maritim yang disebut sebagai Pertuturan Segala Raja-Raja atau Sejarah Melayu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas pementasan teater Purbawara Muzikal Manifestasi Karya Agung Sulalatus Salatin: Keagungan Kemaharajaan Maritim, di Panggung Seri Kompleks JKKN Melaka, di sini malam kelmarin.
Lebih menarik teater tersebut turut disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Ab. Rahman serta Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Sementara itu, pengarah teater, Siti Rohaya Attan berkata, dia tidak menyangka pementasan teater tersebut mendapat sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai yang memenuhi setiap ruang di Panggung Seri Kompleks JKKN Melaka sejak Jumaat lepas.
Menurutnya, dia mengakui cabaran getir yang digalas dalam menterjemahkan karya itu ke pentas teater kerana perlu bermula daripada kosong dalam tempoh waktu yang sangat singkat.