ALOR GAJAH – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes seorang pelabur mata wang yang didakwa membunuh seorang guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, pada Disember tahun lalu.
Majistret Dr. Teoh Shu Yee membuat ketetapan itu sebagai sebutan permohonan izin untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Melaka.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Hidayu Abd. Latif memaklumkan mahkamah laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat telah diperoleh.
Peguam K. Veeranesh yang mewakili tertuduh kemudian memohon tarikh sebutan baharu pada 23 Januari 2025 dan dipersetujui pegawai pendakwa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, Mohd. Fadzly Ariffadzilah, 36, didakwa melakukan bunuh terhadap Istiqomah di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah antara 26 Disember hingga 31 Disember 2023.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Istiqomah dilaporkan hilang pada 27 Disember tahun lalu selepas keluar bekerja, namun keretanya ditemui di sekitar Lotus Kota Masai, Johor kira-kira pukul 2 petang hari sama.
Pada 31 Disember tahun lalu, mayat seorang wanita ditemui dibuang di dalam tong sampah dalam keadaan tanpa kepala dan tangan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.
Hasil ujian DNA yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mayat ditemui. – KOSMO! ONLINE