fbpx

Platform lahir profesional industri haji, umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD SYAKIR ALIF menerima Anugerah Industri pada Konvokesyen Kolej Universiti Inovatif baru-baru ini.

TIDAK seperti rakan seusia lain yang masih tercari-cari hala tuju kerjaya, Muhammad Syakir Alif Che Razali telah berjaya menyandang jawatan sebagai Ketua Pengawai Operasi, Hijrah Alliance Travel Sdn. Bhd..

Pada Jun lalu, pemuda berusia 21 tahun itu bersama dua lagi rakan sekuliahnya sepakat menubuhkan syarikat tersebut.

Kini, syarikat itu telah berjaya membawa 60 jemaah umrah, dan mensasarkan enam kali perjalanan ke Mekah dan Madinah pada setiap tahun.

Hakikatnya, pada peringkat permulaan, Muhammad Syakir Alif langsung tidak berminat untuk memulakan karier dalam bidang pelancongan.

Pun begitu, minat tersebut timbul selepas dia menjalani latihan industri selama sebulan di Mekah ketika melanjutkan pengajian peringkat Diploma Pengurusan Haji Umrah di bawah YEG Academy dengan kerjasama Kolej Universiti Inovatif.

“Saya akhirnya tersedar bahawa pekerjaan membawa jemaah umrah adalah sesuatu yang suci. Ini kerana, selain menjana pendapatan, saya juga mendapat pahala. Selamat dunia dan akhirat,” katanya ketika ditemui iGen baru-baru ini.

Biarpun telah mempunyai syarikat sendiri, namun Muhammad Syakir Alif bersama dua rakan kongsinya masih menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kini, mereka sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji Umrah yang dilancarkan sempena kempen ‘Melahirkan Tenaga Pakar Profesional Industri Haji Umrah 2025’.

“Saya rasa dengan jawatan yang digalas, ilmu peringkat diploma saja tidak mencukupi.

“Saya baru tamat semester satu program ijazah sarjana muda, dan saya dapat rasa perbezaannya.

“Memang berbaloi saya sambung belajar. Ini kerana, menguruskan sebuah syarikat dan jemaah umrah bukanlah perkara mudah. Saya perlu ada ilmu untuk mengembangkan syarikat ini.

“Impian saya adalah untuk melihat syarikat kami memiliki lesen pengelola haji pada masa depan,” ujarnya yang fasih berbahasa Arab.

Seramai 382 graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam program Diploma Pengurusan Haji Umrah di Konvokesyen Kolej Universiti Inovatif ke-10.

Disoal tentang cabaran menguruskan syarikat pada usia muda, di samping menyambung pelajaran, dia berkata, mereka perlu bijak mengimbangkan masa.

“Setakat ini, tidak ada sebarang masalah kerana kelas peringkat ijazah sarjana muda adalah fleksibel.

“Selain kelas fizikal, terdapat juga kelas secara online,” ujarnya yang memulakan pengajian pada Januari lalu.

Muhammad Syakir Alif turut menerima Anugerah Industri dan sijil diploma bersama 382 graduan Diploma Pengurusan Haji Umrah pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Inovatif yang ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, PU Amin berkata, penting untuk institusi pendidikan melahirkan tenaga pakar dalam sesuatu bidang terutamanya berkaitan agama.

“Ramai orang yang tiada kelayakan mengeluarkan fatwa sendiri mengenai ibadah haji dan umrah.

“Dalam bidang agama memang diperlukan pengkhususan supaya apabila mereka ini keluar nanti akan menjadi pakar dalam bidang tertentu seperti haji dan umrah,” katanya sambil memaklumkan, program YEG Academy turut mendapat sokongan pemain industri haji dan umrah.

Tambah pendakwah bebas itu, bukan mudah untuk menarik minat pelajar lebih-lebih lagi berkaitan industri haji dan umrah.

Namun, latihan industri sebagai pekerja di lapangan di Mekah dan Madinah adalah peluang keemasan untuk pelajar merasai sendiri pengalaman bekerja di sana.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan YEG Academy, Hasan Ithnin berkata, industri haji dan umrah kekurangan tenaga kerja profesional di bahagian pengurus atau operasi.

Menurutnya, penubuhan Fakulti Pengajian Antarabangsa adalah salah satu usaha sama yang diwujudkan antara YEG Academy dan Kolej Universiti Inovatif.

“Selepas lima tahun, permintaan pengurusan haji dan umrah di negara ini kian meningkat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI