KUALA LUMPUR – Sabah FC melengkapkan empat pasukan terbaik dalam saingan Piala Malaysia musim ini selepas menyingkirkan Kuching City 1-0 secara agregat.
Perlawanan suku akhir kedua di Stadium Likas, sebentar tadi berlangsung sengit, menyaksikan Kuching City tampil agresif untuk cuba menafikan kelebihan Sabah FC yang menang tipis 1-0 pada perlawanan pertama, 15 Disember lalu.
Menyedari kesukaran yang bakal dihadapi, pengendali Sabah FC, Marko Stano menyenaraikan barisan terbaik termasuk tonggak kebangsaan seperti Daniel Ting dan Dominic Tan.
Bagaimanapun separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu untuk mencari gol pertama perlawanan.
Tempoh 20 minit babak kedua menyaksikan benteng Sabah FC berdepan ujian bertali arus namun beberapa peluang terbaik Kuching City gagal disudahkan dengan lebih baik.
Aspek penyudah tumpul turut menghantui The Rhinos sekaligus menyaksikan perlawanan ini berakhir tanpa jaringan.
Di peringkat separuh akhir nanti, Sabah FC dijadualkan menentang Sri Pahang yang mara selepas menyingkirkan Perak FC – KOSMO! ONLINE