fbpx

Penginapan percuma Anjung Kasih YKN-TNB santuni waris pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkefly (enam dari kiri), Nancy (tujuh dari kiri) dan Abdul Razak (lima dari kanan) pada Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB di Hospital Melaka, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Sejak tahun 2018, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menaja tiga buah Better Brighter Anjung Kasih hasil kolaborasi bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Ia merangkumi Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB di Hospital Serdang, Selangor; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan dan di Hospital Melaka.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, kola­borasi berkenaan bertujuan untuk memperkukuhkan sokongan terhadap program kesihatan kerajaan serta kebajikan sosial masyarakat, terutamanya daripada golongan yang kurang bernasib baik.

Jelasnya, ia diharap dapat membantu waris pesakit yang tidak berkemampuan menyewa penginapan atau menanggung kos ulang-alik ke hospital secara harian.

“Kita mungkin pernah mende­ngar cerita tentang cabaran yang dihadapi oleh waris pesakit yang menemani pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Menyedari keadaan ini, TNB melalui penajaan Anjung Kasih YKN, telah cuba menyahut cabaran untuk menyediakan rumah transit secara percuma untuk keluarga pesakit, terutamanya keluarga pesa­kit kritikal yang datang dari kawasan luar bandar.

“Kemudahan ini memberikan sokongan penting kepada keluarga pesakit berpendapatan rendah, membantu mereka mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Projek Better Brighter Anjung Kasih YKN–TNB di Hospital Melaka, baru-baru ini.

Kemudahan Anjung Kasih menyediakan tempat penginapan sementara buat waris pesakit yang tidak berkemampuan menyewa penginapan sendiri.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Brighter Brighter Anjung Kasih YKN-TNB Hospital Melaka mula ditubuhkan pada 2019 dan ia mendapat tajaan sepenuhnya daripada TNB.

TNB melalui platform tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah menaja sejumlah RM1,279,200 bagi kerja naik taraf bangunan, kelengkapan perabot, kemudahan fasiliti, dan kos penyelenggara rumah transit berke­naan selama lima tahun.

Anjung Kasih YKN merupakan tempat penginapan sementara untuk golongan memerlukan khususnya keluarga atau waris pesakit yang tidak berkemampuan menyewa penginapan, namun perlu mengiringi dan menjaga pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Ia dibina dengan konsep selesa, selamat dan berkualiti demi memastikan kebajikan golongan sasar terjamin.

Sejak penubuhan Anjung Kasih YKN yang pertama pada tahun 2006, seramai 107,633 orang telah mendapat manfaat da­ripada 19 buah Anjung Kasih yang telah beroperasi di seluruh negara.

Sementara itu, Better, Brighter pula merupakan slogan TNB yang diperkenalkan pada 2013 sebagai usaha untuk menjenamakan semula syarikat, sambil menekankan komitmen mereka dalam menyediakan perkhidmatan lebih baik.

Ia mencerminkan aspirasi ba­dan utiliti tersebut ke arah inovasi, kelestarian dan tanggungjawab sosial, sebagai pembekal elektrik kepada lebih 10 juta pengguna yang terdiri daripada kediaman, komersial, dan perindustrian.

Selain kerjasama bersama YKN, TNB turut menaja Better Brighter Dormitory IJN Foundation, di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, selain menyediakan tempat tinggal yang selesa, Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB di Hospital Melaka turut dilengkapi kemudahan asas yang diperlukan oleh keluarga pesakit.

Ruang dalaman Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB di Hospital Raja Perempuan Zainab II, yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas untuk keluarga pesakit.

Ini seterusnya membolehkan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kepada penjagaan dan pemulihan pesakit, tanpa risau tentang beban kewangan tambahan.

“Anjung Kasih ini bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan emosi dan mental keluarga pesakit.

“Dengan menyediakan tempat tinggal yang selamat dan selesa, ia memberikan peluang untuk keluarga pesakit berada dekat de­ngan orang tersayang, sambil memberikan semangat kepada pesakit untuk pulih,” katanya.

Selain penajaan Anjung Kasih YKN, TNB turut sama menyumbang dan menyokong program penjanaan dana YKN.

Ini termasuk sumbangan mesin dialisis kepada pusat rawatan dialisis YKN daripada Persatuan Wa­nita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis), yang dianggotai tenaga kerja wanita TNB dan isteri kepada tenaga kerja TNB.

Sumbangan CSR daripada TNB kepada YKN kini berjumlah RM6.5 juta, meliputi pelbagai golongan sasar YKN dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.

“Kerjasama erat antara TNB dan YKN selama ini dalam melak­sanakan inisiatif ini menjadi bukti daya usaha kedua-dua pihak dalam memastikan keluarga pesakit mendapat sokongan moral dan fizikal semasa mereka berhadapan dengan cabaran.

“Sukacita saya ingin mengatakan bahawa komitmen TNB akan berterusan dalam usaha keprihatinan rakyat yang memerlukan, di sam­ping aktiviti teras kami bagi memastikan bekalan tenaga yang mencukupi dan berdaya harap untuk seluruh rakyat melalui pelaburan sistem tenaga yang berte­rusan,” ujar Abdul Razak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI