JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan seorang pemandu treler menghalang laluan ambulans dengan memberhentikan kenderaannya di tengah jalan, lapor program berita Liputan6 hari ini.
Kejadian berlaku di Demak, wilayah Jawa Tengah.
Berdasarkan video tersebut, pemandu treler itu memberhentikan kenderaannya di hadapan ambulans.
Dia dan kelindan kemudian keluar dari treler dan berhadapan dengan pemandu ambulans.
Mereka kemudian didengari bertengkar, dengan pemandu treler memarahi pemandu ambulans kerana meminta dia memberi laluan.
Pemandu ambulans membalas dengan menjelaskan bahawa pesakit yang dibawa mengalami patah tulang dan berada dalam kecemasan.
Pertengkaran mereka kemudian berakhir apabila pemandu treler kembali ke dalam kenderaannya dan berlalu dari situ. – AGENSI