fbpx

Kelangsungan legasi bisnes Choy Fook On hingga ke generasi ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Choy Fook On berdiri di sebelah model projek pembinaan yang terdapat di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menara Choy Fook On yang terletak di lokasi strategik di Petaling Jaya, Selangor menjadi lambang kemegahan buat keluarga Datuk Choy Fook On khususnya buat anak dan cucunya meneruskan legasi bisnes yang diasaskan oleh ahli perniagaan yang berusia 88 tahun itu.

Beliau yang terkenal sebagai sifu perabot mula mengembangkan empayar perniagaannya sejak tahun 1963 secara berfasa sehingga tertubuhlah Federal International ­Holdings Berhad (FIHB) diikuti oleh Masteron Group, pada tahun 1981 yang terlibat dalam bidang pembinaan dan pembangunan hartanah seterusnya menyenaraikan Fe­deral Furniture Holdings Berhad pada pertengahan tahun 1990an di Bursa Malaysia.

Kini legasi perniagaannya diteruskan kepada generasi ketiga yang mana cucunya melangkah masuk dalam empayar perniagaan keluarga dengan mengoperasikan perniagaan hotel. Antara hotel milik syarikat adalah Fourpoints by Sheraton Kuala Lumpur ChinaTown.

“Berniaga dahulu dan sekarang sangat berbeza, jika ada RM10,000, kita boleh jadikan duit itu sebagai modal untuk berkembang, dahulu berniaga sangat senang tapi sekarang jika ada RM10 juta, nak beli tanah pun harganya lebih RM10 juta, kos tanah terlalu mahal sekarang.

“Jadi sekarang kita semua kena kerja kuat untuk berniaga dan dapat untung,” katanya kep­ada Kosmo! di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang perkembangan diri Datuk dan syarikat pada masa sekarang?
Choy Fook On: Saya sudah lama terlibat dalam industri pembuatan perabot ketika umur saya 20 tahun mengikut bapa buat perabot.

Dia ada bakat dalam bidang itu, secara perlahan-lahan saya belajar daripada dia bertukang dan membuat perabot. Bila sudah mahir, saya digelar ‘sifu’ perabot ketika itu. Pada peringkat awal saya mula jual perabot kepada kawan yang ada kedai.

Pada tahun 1963, saya dan isteri buka perniagaan pertama kami iaitu Federal Furniture Company yang memfokuskan kepada perniagaan runcit pera­bot.

Selama 27 tahun, perniagaan tersebut berkembang dan memasuki cabang perkilangan, pengubahsuaian dan rekaan dalaman yang menunjukkan komitmen kami untuk memberi perkhidmatan nilai tambah dan menjadi platform buat saya untuk mengembangkan kreativiti dan idea dalam industri ini.

Pada tahun 1980, Federal Furniture (M) Sdn. Bhd. diperbadankan membolehkan syarikat melangkah lebih jauh lagi dalam bidang mengeksport perabot dan juga berjaya memperoleh kontrak daripada beberapa rangkaian hotel antarabangsa sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran asing dan juga tempatan.

Adakah Datuk masih aktif dalam bidang perniagaan ini dan apa yang datuk lakukan sekarang?
Umur saya sudah 88 tahun dan sekarang hanya memantau perkembangan perniagaan dari belakang, anak lelaki saya ambil alih bidang pembinaan dan hartanah, manakala cucu saya pula menceburi bidang perhotelan, kami ada beberapa hotel di Malaysia dan juga dua buah hotel di London.

Saya belum bersara lagi dan saya tidak mahu bersara awal kerana saya suka bekerja. Jika tidak bekerja saya akan sa­kit, saya mahu aktif, sihat tubuh badan. Saya melihat perkembangan dari rumah dan sekali sekala jika diperlukan, akan hadir me­syuarat di pejabat.

Bilakah Datuk akan serahkan segala tanggungjawab dan jawatan kepada anak dan cucu?
Nama saya masih lagi dalam perniagaan ini dan hati saya sendiri berat untuk lepaskan jawatan ini, tapi satu hari nanti saya pasti akan serahkan (jawatan) juga kepada mereka.

Ketika itu, saya mahu berehat dan bersara. Saya tahu, anak-anak dan cucu sudah berpengalaman dan mereka juga sudah pandai berniaga.

Saya hantar mereka belajar ke luar negara berban­ding saya belajar hanya peringkat sekolah Cina sahaja.

Saya mahu mereka mendapat ilmu pengetahuan yang lebih luas. Saya sentiasa beri nasihat kepada anak-anak supaya memastikan projek yang dijalankan berjalan lancar dan pastikan juga pekerja kita terus setia kepada syarikat.

Kami memiliki kakitangan yang sudah 15 tahun dengan Kumpulan dan ini menunjukkan kesetiaan mereka kepada perniagaan.

Apakah tips kesihatan yang diamalkan Datuk sehingga sekarang?
Hidup kamu, berpunca daripada tangan kamu khususnya apa yang kamu makan. Memilih makanan adalah penting untuk mendapat manfaat kesihatan yang baik. Jangan terlalu banyak makan daging dan kambing, memang makanan tersebut sedap, tetapi kita boleh makan sedikit sahaja.

Kita boleh makan banyak ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya juga kurang tidur iaitu pukul 5 pagi setiap hari saya sudah bangun.

Saya akan membaca empat naskhah surat khabar setiap hari supaya saya tahu tentang perkembangan semasa dalam dan juga di luar negara. Saya tidak perlu memakai cermin mata untuk membaca.

Pada umur sekarang, kawan saya pun sudah berkurangan, tak perlu ada banyak kawan dan kita kena pandai memilih kawan.

Perniagaan Datuk semakin berkembang, apakah cabang bisnes yang datuk paling suka?
Saya mahu membina lebih banyak projek rumah untuk dijual, supaya lebih ramai orang boleh memiliki rumah.

Dalam masa yang sama, mahu membangunkan bisnes perabot kerana bila ada rumah pastinya memerlukan perabot. Kami tidak gentar pada persaingan yang sengit kerana saya suka pada persaingan sebab kita boleh tawarkan lebih banyak pilihan kepada pe­langgan. Mana projek yang terbaik maka ia akan jadi pilihan pelanggan.

Sesiapapun syarikat pesaing kami, itu adalah satu perkara yang baik kerana pasaran sekarang semakin besar dan kita tidak boleh memono­poli pasaran.

Tetapi antara faktor positif yang memberi kesan kepada syarikat adalah kami memiliki kekuatan tenaga kerja yang komited.

Saya tidak suka kepada orang yang menipu dalam perniagaan. Jika kita sudah biasa menipu, ia akan menipu diri sendiri, itu satu perbuatan yang bodoh. Walaupun nak untung banyak tapi jangan tipu.

Gunalah strategi yang terbaik tapi jangan tipu orang kerana ia akan mengurangkan kepercayaan orang kepada kita. Sebagai Contoh jika tipu pelanggan, lama-kelamaan, rumah yang kita bina itu rosak.

Legasi perniagaan yang dibangunkan sangat mengagumkan sehingga kepada tiga generasi, adakah kepentingan hubungan keluarga yang erat menjadi  faktor kejayaan kepada perniagaan datuk?

Bila anak-anak sudah besar, mereka akan berkahwin dan membina keluarga sendiri. Dalam keluarga jika ada perselisihan faham, ia akan memecah belahkan semua dan sekali gus akan memberi kesan kepada perniagaan.

Perniagaan ini yang diturunkan kepada anak dan cucu kena ada persepakatan yang baik dan kami akan berbincang bersama jika ada sebarang masalah dan isu.

Kalau ada perselisihan faham, mereka boleh bentangkan cadangan masing-masing dan saya akan membantu memberi nasihat kepada anak-anak dan cucu.

Kami juga ada perjumpaan keluarga setiap hari jumaat untuk makan tengahari bersama. Pada masa itu, kami akan berbincang. Tradisi ini akan diteruskan untuk mengeratkan hubungan yang untuk jangka masa lama. Kami sentiasa ambil berat bersama. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI