KUALA LUMPUR – Bila mana suatu langkah dibuat untuk berniaga dengan mendapat restu daripada ibu sendiri, pastinya pengoperasian bisnes tersebut akan terus meraih kejayaan sehingga ke peringkat yang membanggakan.
Itulah susur galur sebuah empayar perniagaan yang diasaskan Pengarah Urusan Glocal Travel & Tours Sdn. Bhd. (Glocal Travel), Datuk Mohd. Idzham Mohd. Isa yang menerima suntikan modal bernilai kira-kira RM50,000 daripada ibunya untuk memulakan perniagaan di fasa awal pada tahun 2012.
Usahawan yang memiliki pengalaman bekerja di institusi perbankan itu tidak menoleh ke belakang lagi kerana lebih suka memilih perniagaan dalam bidang pelancongan dan meneroka pelbagai aktiviti pengembangan sehingga terus utuh selama 12 tahun.
Mohd. Idzham berkata, Glocal Travel kini menjadi pilihan masyarakat untuk menunaikan umrah melalui perkhidmatan terbaik yang ditawarkan melalui pelbagai kemudahan yang lengkap untuk memenuhi keperluan pelanggan daripada pelbagai peringkat umur dan juga latar belakang taraf hidup.
Harga pakej umrah pula daripada serendah RM5,990 seorang sehingga kepada pakej premium yang mana hotel mereka terletak berdekatan dengan Masjidil Haram pada harga lebih RM8,000 seorang.
“Walaupun mereka ambil pakej umrah yang mahal atau murah, kami akan tetap beri layanan yang sama rata. Mereka akan diberi layanan daripada ustaz yang membimbing semua jemaah, berceramah pun sama, pengisian sirah nabi di Mekah dan Madinah Mohd. Idzham juga sama.
“Yang membezakan mereka adalah jarak hotel sahaja. Kalau saya pilih kasih, lebih baik jangan buat bisnes ini. Oleh itu, saya pastikan kami tawarkan perkhidmatan sama rata kepada semua jemaah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Syarikat kini memiliki 13 cawangan di seluruh negara dan setiap tahun secara purata Glocal Travel mengendalikan kira-kira 8,000 jemaah dengan menawarkan lima jenis pakej umrah.
Kejayaannya mencipta nama dalam bidang tersebut membolehkan syarikat menerima pelbagai anugerah dan antaranya adalah Best Performance Agents (2014 sehingga 2018 berturut-turut) dan Anugerah Usahawan Muda Terbaik (2015) dari SME Bank For Young Entreprenueur dan Enterprise 50 Award SMECorp (2019)
Mohd. Idzham memiliki matlamat untuk membolehkan setiap individu beragama Islam di negara ini dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci untuk menunaikan umrah.
Jelasnya, meskipun nampak macam mudah ibadah umrah tetapi beliau sentiasa menasihati jemaah agar tidak melanggar hukum hakam, oleh itu khidmat mutawif berpengalaman sangat diperlukan untuk melancarkan perjalanan sesebuah umrah.
“Kami menyasarkan untuk mengendalikan dan membawa antara 6,000 hingga 7,000 jemaah umrah pada tahun 2025,” jelasnya sambil menambah syarikat kini memiliki lebih daripada 60 mutawif di Mekah dan juga 18 pekerja di Madinah.
Selain itu, Mohd. Idzham menjelaskan, berita gembira yang dinantikan syarikat selama ini untuk dilantik sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada musim haji depan bakal mengukuhkan lagi imej dan kedudukan syarikat dalam industri.
Pengalaman dan hubungan baik syarikat dengan beberapa rakan perniagaan di Tanah Suci selama ini akan digunakan pakai bagi membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan terbaik kepada bakal haji pada musim yang baru tahun depan.
Sebagai persediaan awal untuk syarikat memfokuskan kepada misi untuk membimbing bakal jemaah haji agar ibadah mereka mendapat haji mabrur dan segala aktiviti ibadah di sana berjalan lancar, Glocal Travel telah melantik Ustaz Tengku Aziz Raja Abdullah sebagai Penasihat Syariah.
Selain itu, bagi memastikan pakej haji sentiasa terjamin tiada sebarang masalah berkaitan penginapan di Tanah Suci, syarikat telah membuat tempahan dan membayar deposit dengan sejumlah wang yang banyak di beberapa hotel di Mekah dan Madinah.
Ini bertujuan untuk memastikan jemaah akan menikmati kemudahan yang telah dijanjikan sebelum ini seperti ditawarkan dalam iklan syarikat yang mementingkan keselesaan dan juga keselamatan jemaah,” ujarnya sambil menambah pakej haji yang ditawarkan adalah antara RM50,900 sehingga RM66,900.
Glocal Travel juga telah menandatangani perjanjian bersama syarikat penerbangan utama untuk satu musim bagi mengelakkan berlakunya kes-kes penipuan yang sekali gus akan memberi kesan negatif kepada syarikat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah mengikuti segala garis panduan yang ditetapkan untuk pelantikan tersebut dan berharap ini sebagai satu platform terbaharu untuk syarikat mengembangkan sayap perniagaan dalam industri tersebut.
“Kriteria untuk mendapat lesen haji musim baharu ini memang susah kerana terdapat pelbagai syarat yang perlu kami penuhi. Kami bersyukur atas pelantikan ini dan bersedia untuk membimbing bakal jemaah haji dengan sebaiknya pada masa depan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE