BANGKOK – Seorang budak lelaki yang menyambut hari jadi bersama adik perempuannya kehilangan ibu bapa mereka apabila seorang pelanggan mabuk melepaskan beberapa das tembakan di dalam sebuah restoran di daerah Hat Yai malam semalam, lapor akhbar Bangkok Post.
Insiden tembakan itu berlaku di restoran Khrua Paowana, Jalan Nuan Kaew Uthit sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan).
Beberapa saksi berkata, penyerang dikenali sebagai Akarapon Pamchamnong, 50, yang merupakan anggota sukarelawan pertahanan daerah Hat Yai.
Dia datang ke restoran itu bersendirian untuk minum arak. Selepas beberapa ketika, Akarapon berjalan keluar untuk merokok di tepi jalan.
Seorang pekerja yang menyangka dia sudah habis minum, bertindak membersihkan meja.
Apabila Akarapon melihat apa yang berlaku, dia menjadi marah. Pelanggan itu bertengkar dengan pemilik restoran dan pekerja berkenaan sebelum memandu pergi.
Dia kemudian kembali semula dan menyambung pertengkaran mereka.
Tanpa disangka, Akarapon menghunus senjata api dan melepaskan tembakan berulang kali
Dua pelanggan terbunuh iaitu Sitthipong Siriphan, 48, dan isterinya, Orachon Ieankham, 45, dengan kedua-dua mereka ditembak di kepala.
Pasangan itu membawa bersama dua anak mereka untuk menyambut hari lahir si abang yang ke-12.
Budak lelaki itu tidak cedera tetapi adiknya luka di kepala.
Dua orang lagi cedera dalam kejadian itu termasuk pemilik restoran.
Lelaki bersenjata itu kemudian menyerah diri kepada polis. Pihak berkuasa menemui lapan kelongsong peluru di lokasi kejadian. – AGENSI