BIRMINGHAM – Aksi penuh inspirasi, pemain tengah Aston Villa, Morgan Rogers menjadi bualan peminat bola sepak selepas membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Manchester City di Villa Park kelmarin.
Rogers yang merupakan produk akademi City, tidak mensia-siakan peluang untuk bersinar menentang bekas kelabnya selepas dia memberikan bantuan gol kepada Jhon Duran untuk jaringan pembukaan, sebelum mencetak namanya dalam senarai penjaring untuk gol kedua.
Pengurus Aston Villa, Unai Emery tanpa berselindung memuji impak besar yang diberikan oleh pemain muda berusia 21 tahun itu.
“Morgan luar biasa kali ini. Dia memainkan peranan penting dengan menghubungkan pemain tengah, penyerang dan sayap kami.
“Babak kedua benar-benar menunjukkan kemampuannya, dia menjaringkan gol dan memberikan pengaruh besar. Gol-gol ini penting untuk meningkatkan keyakinannya,” kata Emery.
Kejayaan itu sekali gus melonjakkkan Villa ke kedudukan kelima Liga Perdana, meninggalkan Manchester City di belakang dan Emery percaya kemenangan itu adalah hasil dari kerja keras kolektif anak buahnya.
“Hari ini kami bermain seperti yang saya harapkan, kukuh, agresif dan mendominasi. Pada babak kedua, kami mengawal perlawanan dengan lebih baik, masuk ke zon berbahaya untuk mencipta peluang dan gol kedua adalah bukti kerja keras pasukan,” tambah Emery. – AGENSI