BIRMINGHAM – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola masih belum berputus harap dan percaya mereka akan kembali bangkit selepas berdepan satu lagi kekalahan apabila tunduk 1-2 menentang Aston Villa di Villa Park kelmarin.
Ia menjadi kekalahan keenam City musim ini sekali gus menyaksikan mereka terkeluar dari kelompok lima pasukan terbaik dan hanya meraih satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.
City hanya berjaya meraih jaringan menerusi Phil Foden ketika Villa meledak dua gol menerusi Jhon Duran dan Morgan Rogers untuk mendaki ke kedudukan kelima dan kekalahan itu menyaksikan The Citizens tercicir 24 mata setakat ini ketika mereka hanya kehilangan 23 mata sepanjang saingan musim lalu.
“Kami perlu terus positif dan saya memiliki kepercayaan yang utuh terhadap semua pemain. Sesetengah daripada mereka memiliki keinginan untuk berjaya, kami perlu mencari jalan, langkah demi langkah, lambat atau cepat ia akan pasti kembali,” kata Guardiola.
Penyerang City, Erling Haaland mendedahkan bahawa seluruh pasukan itu masih menyokong penuh kepimpinan Guardiola walaupun ia adalah tempoh paling sukar dihadapi pengurus itu sepanjang kariernya sebagai jurulatih.
“Beliau memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak enam kali dalam tujuh tahun, jadi kami tidak boleh melupakan perkara itu. Beliau akan pasti menemui jalan untuk mengembalikan kehebatan pasukan ini.
“Beliau melakukannya setiap tahun. Kami masih kekal mempercayai kemampuannya, cuma kami perlu terus bekerja lebih keras berbanding apa yang dilakukan setakat ini,” jelasnya. – AGENSI