SINGAPURA – Seorang pemandu di Singapura mengalami detik cemas apabila seekor ular muncul pada cermin hadapan keretanya ketika kenderaan itu dipandu laju, lapor portal berita Mothership hari ini.
Berdasarkan video yang dikongsikan di laman sosial, ular pokok daripada spesies Chrysopelea paradisi itu dilihat muncul pada cermin hadapan kereta sebelum ia menyusur ke cermin sisi.
Reptilia itu kemudian membelit cermin sisi kereta dan kelihatan seolah-olah ia memerhatikan keadaan sekeliling.
Tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian dan tindakan pemandu untuk mengeluarkan ular tersebut daripada kedudukannya.
Chrysopelea paradisi merupakan spesies ular kolubrid yang terdapat di rantau Asia Tenggara.
Seperti spesies lain dalam genus yang sama, reptilia itu mempunyai kebolehan untuk meratakan badan dan menyusur dengan laju dari pokok ke pokok. – AGENSI