fbpx

Bungkus dadah dalam plastik mirip wang kertas asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAUB (tengah) menunjukkan bungkusan dadah mirip wang kertas asing pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru hari ini.-Foto BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Satu sindiket pengedaran dadah dikesan berusaha mencuba taktik baharu dengan membungkus ekstasi, eramin 5 serta ketamin dalam plastik mirip wang kertas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Taktik licik sindiket itu bagaimanapun terbongkar susulan tangkapan dua lelaki masing-masing berusia 33 dan 40 tahun dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam serbuan terbabit pihaknya turut merampas dadah serbuk ekstasi, pil eramin 5 dan ketamin bernilai RM210,721.60.

“Modus operandi digunakan sindiket adalah dengan menjadikan rumah sewa dan kenderaan sebagai tempat pembungkusan semula dadah simpanan sebelum diedar ke pasaran sekitar Johor Bahru.

“Sindiket yang telah beroperasi sejak dua bulan lalu itu dikesan membungkus semula dadah dalam bungkusan berbentuk seperti wang kertas yang jika dilihat di dalam kelab malam, tidak jangka itu adalah bungkusan dadah,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis JBS, di sini hari ini.

Tambah Raub, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi, serangkai kunci dan juga wang tunai RM120 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM235,841.60.

“Ujian urin dibuat mendapat kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, manakala semakan menunjukkan mereka mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah.

“Pihak polis masih memburu saki-baki sindiket ini yang dipercayai masih bebas,” jelasnya.

Tambah Raub, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 28 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI