KOTA BHARU – Barangan subsidi di Kelantan yang bernilai RM5 juta sempat diselamatkan daripada ia diseludup ke Thailand bagi tempoh Januari hingga semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, nilai rampasan itu membabitkan sebanyak 620 kes yang melibatkan petrol, diesel, minyak masak, gula dan gandum.
Menurutnya, selain itu, seramai 206 individu termasuk warganegara asing yang berusia antara 20 hingga 60-an ditahan sepanjang tempoh tersebut
“Kesemua suspek ditahan itu termasuk menerusi operasi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
“Kes-kes melibatkan penyeludupan barangan subsidi itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, kes-kes penyeludupan juga dilihat semakin berkurang sejak penguatkuasaan ketat pihak berkuasa di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 1 Disember lalu.
Katanya, langkah tersebut sekali gus dapat mengekang kegiatan penyeludupan barangan kawalan ke negara jiran.
“Selain itu, kita merekodkan sebanyak 1,151 aduan berkait penyeludupan sepanjang tahun ini berbanding sebanyak 1,222 aduan pada tahun lalu.
“Sebanyak 1,025 tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyelewengan, penyeludupan, barang tiruan, menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum dan tidak mempamerkan tanda harga sudah diambil sepanjang tahun ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE