PETALING JAYA – Pengguna kenderaan disarankan untuk tidak melanggar lampu isyarat sekiranya ambulans berada di belakang, tetapi hanya perlu membelok ke tepi sahaja bagi memberi laluan.
Menerusi hantaran video TikTok Aqilah Nissan, dia berkongsi pengalamannya dilanggar kereta selepas cuba memberikan laluan kepada ambulans sewaktu lampu isyarat merah.
“Tiada siapa yang salah, tiada siapa yang betul. Cuma nak bagitahu, anda bagi laluan kepada ambulans ke, polis ke, risiko 100 peratus tanggung sendiri. Tengah tunggu lampu hijau, tiba-tiba datang sebuah ambulans.
“Dah elak ke kanan sikit tapi ambulans tu masih tak boleh lalu. Waktu ni aku dah mula gelabah, sebab duduk tengah-tengah lampu isyarat ni. Depan kereta lorong sebelah, tapi ambulans tu tak pergi-pergi. Motosikal kat depan semua dah pergi, aku pun jalan la… sekali ‘bump’ (bunyi langgar).
“Masa ni macam tersedar, aku pertaruhkan dua nyawa (mengandung). Hanya fikir anak dalam perut, dah lah hampir empat tahun TTC (cuba hamil) untuk dapatkan zuriat,” katanya pada kapsyen video tersebut.
Berikutan itu, dia disaman oleh polis sebanyak RM300 atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah.
“Selain itu, NCD insurans daripada 55 peratus jadi kosong, daripada sepatutnya RM1,000 jadi RM2,000 kena bayar untuk perbaharui insurans.
“Kos tambahan hampir RM1,000 untuk dapatkan bahagian original sebab kereta dah enam tahun. Nak pergi kerja terpaksa pinjam kereta,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@qilarahmad Tiada siapa yg salah, tiada siapa yg betul.. cuma nak bagitahu, anda bg laluan dekat ambulance ke polis ke, risiko 100% tanggung sendiri 🥹 #terengganu #accident #trauma #ambulance ♬ original sound – Aqilah Nissan