KUALA LUMPUR – Meski berkali-kali dipujuk, penyanyi popular era 80-an, Ramlah Ram kekal dengan pendirian menolak menyertai program realiti televisyen kerana enggan membiarkan dirinya mengalami tekanan sepanjang pertandingan.
Menurut Ramlah, 59, dia tidak lagi mengejar populariti atau bertanding di pentas sebegitu kerana semua yang diimpikan sudah dimiliki sepanjang empat dekad bergelar penyanyi.
“Memang ada terima tawaran daripada produksi program realiti TV tetapi saya tolak sebab pilihan dalam tangan masing-masing.
“Namun saya tak mahu cakap besar sebab risau kalau cakap macam-macam, hati boleh berbolak-balik dan tiba-tiba berubah pula. Saya mohon doakanlah yang baik-baik sahaja,” katanya selepas majlis sidang media Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia mengakui pelik dan terkejut namanya sering menjadi sebutan setiap kali sebuah pertandingan nyanyian bakal mengumumkan senarai peserta.
Namun, dia mengambil perkara tersebut secara positif dan berpendapat masih ramai mahu melihatnya menyanyi.
“Buat masa sekarang saya rasa nak relaks sahaja dalam hidup selain sudah tidak ada benda nak dikejarkan lagi dalam kerjaya seni.
“Syukur Allah SWT sudah berikan semuanya. Saya dah menang macam-macam dan Alhamdulillah tawaran nyanyian juga masih ada sehingga sekarang.
“Jadi, saya tak mahu buat otak stres apatah lagi memikirkan pertandingan setiap minggu, mahu kusutkan kepala nak fikir apa orang nak. Itu sebab utama saya tolak,” katanya lagi.
Sebelum ini, nama pelantun lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu kerap menjadi sebutan sebagai salah seorang peserta sebuah program nyanyian popular namun perkara tersebut berakhir sebagai khabar angin sahaja.
Perkembangan terkini, Ramlah menjadi salah seorang penyanyi yang bakal beraksi di Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1 di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Januari nanti.
Konsert itu turut dimeriahkan dengan barisan penyanyi lain iaitu Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Nash, Man Bai, Zur Eda, Noorshila Amin dan Amir Masdi. – KOSMO! ONLINE