SHAH ALAM – Pentauliahan mengajar agama Islam di Selangor perlu dikawal dengan tegas bagi mengelak berlakunya perpecahan dan huru-hara masyarakat.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, langkah itu bukan mahu menyusahkan pihak tertentu namun memastikan keharmonian dan kesucian Islam terbela.
Tegas beliau, kawalan tauliah pengajaran di Selangor tidak terlalu ketat dan peraturannya telah diberikan sejak awal.
“Semua negeri lain turut mengguna pakai peraturan sama dan pengajar perlu faham syarat-syarat tauliah serta mematuhinya.
“Jika tiada ketegasan, pengajaran agama Islam di negeri ini akan jadi huru hara. Kita mahu ia bersatu dan bukan berpecah belah,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen Program Pengajian Sepanjang Hayat kali keempat di sini, hari ini.
Khamis lalu, Kosmo! melaporkan tauliah mengajar penceramah bebas, Mohd. Masri Mohd. Ramli ditarik balik selepas didapati melanggar Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.
Siasatan terperinci dijalankan Jawatankuasa Kecil Aduan dan Siasatan selaras dengan Peraturan Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam susulan aduan awam berkaitan salah laku melibatkan individu tersebut.- KOSMO! ONLINE