fbpx

Kerajaan Thailand bayar suspek jenayah, dadah RM4,200 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paisan

SONGKHLA, THAILAND – Suspek pelbagai kes jenayah termasuk dadah di tiga lokasi Wilayah Selatan Thailand yang berkemungkinan ditahan dalam tempoh lama untuk membantu siasatan akan dibayar ganti rugi sebanyak lebih 32,000 Bath (RM4,200) sebulan oleh pihak kerajaan.

Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang berkata, pampasan itu diberikan kepada suspek yang merupakan warganegara Thailand sahaja selepas pihak berkuasa menahan mereka untuk membantu siasatan.

Menurutnya, ganti rugi sebanyak 20,000 Bath (RM2,620) akan dibayar terus kepada suspek sebaik sahaja ditangkap untuk membantu siasatan bagi kes-kes jenayah.

“Selepas itu, kerajaan Thailand akan menambah pampasan sebanyak 400 Bath (RM52) sehari semasa mereka berada dalam tahanan. Maksimum tahanan dan bayaran pampasan itu diberikan kepada suspek dalam tempoh 30 hari.

“Jadi, mereka akan memperoleh jumlah keseluruhan kira-kira 32,000 Bath (RM4,200) sepanjang tempoh tersebut. Kebiasaannya, kita akan tahan suspek dalam tempoh 10 hari sahaja sebelum dibebaskan jika tiada kes,” katanya pada sesi tembual khas bersama media Malaysia di sini semalam.

Paisan memberitahu, bayaran pampasan kepada suspek jenayah itu khas untuk rakyat Thailand dan ia hanya dilaksanakan di tiga lokasi Wilayah Selatan Thailand sejak lebih lima tahun lalu.

Menurutnya, inisiatif itu dilakukan oleh kerajaan Thailand kepada suspek atau tahanan kerana membantu siasatan dan bayaran itu sebagai ganti rugi sekiranya pendapatan atau pekerjaan mereka terjejas sepanjang sesi soal siasat.

“Tidak ramai yang kita tahan untuk membantu siasatan kes-kes jenayah termasuk dadah. Seramai hampir 40 individu sahaja dibayar oleh kerajaan Thailand selepas mereka ditahan pada tahun lalu.

“Pihak tentera Thailand akan menahan suspek yang benar-benar boleh membantu siasatan bagi sesuatu kes. Kita tidak semberono menangkap orang,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam tempoh lebih lima tahun pelaksanaan inisiatif itu, sebanyak 30 kes daripada 100 kes jenayah dan dadah sudah dibawa untuk pendakwaan di mahkamah.

Menurutnya, suspek yang ditahan itu tidak ditempatkan di penjara, sebaliknya mereka diasing di satu kawasan semasa sesi siasatan dijalankan.

“Saya ingin menegaskan bahawa bayaran ganti rugi atau pampasan itu bukan untuk menggalakkan rakyat melakukan jenayah dan memperoleh wang dengan mudah.

“Inisiatif ini bersifat kemanusiaan untuk membantu suspek yang ditahan di tiga lokasi di Wilayah Selatan Thailand. Ada prosedur tertentu yang perlu dilakukan sebelum menahan suspek kes-kes jenayah.

“Pihak tentera diberikan masa selama 30 hari untuk menyiasat suspek. Jadi, sangat wajar bayaran ganti rugi diberikan kepada mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI