fbpx

Suspek bunuh Amoy dilanjut reman sehingga 29 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini.

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini meluluskan lanjutan tempoh reman selama tujuh hari ke atas lelaki yang disyaki membunuh Nurul Asikin Lan, yang mayatnya ditemukan reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya.

Lanjutan reman ke atas suspek berusia 23 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali sehingga 29 Disember ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, suspek yang diiringi pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching tiba di Kompleks Mahkamah Kuching pada pukul 9 pagi, untuk permohonan lanjutan reman kerana tempoh reman ke atasnya tamat pada hari ini.

Pada 18 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan mayat yang dijumpai reput itu adalah Nurul Asikin atau dikenali sebagai Amoy, 28, selepas pihaknya menerima keputusan ujian DNA yang dijalankan.

Ia sejurus selepas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mendedahkan bahawa suspek mengaku membunuh mangsa selepas keluar bersamanya, sebelum dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.

Suspek yang berjaya ditangkap pada 14 Disember lalu turut membawa polis ke lokasi dia membuang mayat mangsa iaitu di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya.

Mancha juga berkata motif pembunuhan adalah kerana suspek mahu mengambil barang kemas mangsa untuk digadai, bagi perbelanjaannya menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Phnom Penh, 8 Disember lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI