PETALING JAYA – Pemain dram kumpulan A.C.A.B iaitu Zul dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Wad Pemulihan Koronari (CRW) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika Konsert A.C.A.B 30th Anniversary di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.
Menurut wakil A.C.A.B dikenali sebagai Sue, Zul rebah disebabkan serangan jantung sebelum diberikan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan dikejarkan ke HKL.
“Keadaannya sudah stabil tetapi perlu dipantau lagi, disebabkan itu dia dimasukkan ke CRW HKL.
“Semalam, dia sedar ketika sudah tiba unit kecemasan HKL,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Berkongsi mengenai detik mencemaskan semalam, Zul tiba-tiba rebah selepas kira-kira 30 minit A.C.A.B memulakan persembahan.
“Dia rebah sewaktu lagu keenam. Nadinya sudah tiada ketika diperiksa dan selepas itu pihak paramedik mula memberikan bantuan CPR.
“Mujurlah nadinya kembali tidak lama kemudian dan terus dibawa ke HKL.
“Dia tidak pernah kena serangan sebegitu sebelum ini, itu kali pertama,” katanya lagi.
Ujarnya, disebabkan perkara tersebut, persembahan dihentikan kira-kira 20 minit namun disambung semula menggunakan khidmat pemain dram lain iaitu Irfan.
Semalam, penonton yang hadir ke konsert tersebut terkejut apabila Zul rebah secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke hospital. – KOSMO! ONLINE