KUALA LUMPUR – “Saya hanya ada jasad, tapi tidak lagi hidup.”
Begitulah luahan seorang wanita warga emas yang musnah kehidupannya selepas terjerat hutang ceti haram atau along ketika cuba membantu anak perempuannya melangsaikan hutang peribadi dan kad kredit.
Wanita malang itu berkata, kehidupannya kini ‘gelap’ angkara hutang sindiket along yang pada mulanya hanya RM600, tetapi kini meningkat mencecah RM100,000.
“Semuanya bermula apabila anak perempuan saya gagal melunaskan hutang peribadi dan kad kredit berjumlah hampir RM400,000.
“Sebagai ibu, saya terpaksa membantunya (anak) walaupun ketika itu saya sendiri berdepan masalah kewangan kerana perniagaan bermasalah,” katanya ketika bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.
Menurut wanita itu, disebabkan terdesak mahu mendapatkan wang, dia membuat pinjaman daripada along selepas permohonan pinjaman menerusi institusi berdaftar ditolak kerana faktor usia.
“Hutang pertama dengan along hanya RM1,000, tetapi saya hanya terima RM500 hingga RM600 selepas ditolak faedah.
“Kini, saya berhutang dengan dua along dan jumlahnya terus meningkat. Lebih menyedihkan, anak saya pergi ke luar negara untuk mencari kehidupan lebih baik meninggalkan saya menanggung beban ini sendirian,” katanya.
Wanita itu mengakui sudah membuat laporan polis kerana tidak mampu melunaskan hutang tersebut yang kian bertambah setiap hari.
Sementara itu, Hishamuddin menjelaskan, pinjaman yang diambil wanita tersebut diberikan oleh syarikat pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang melanggar undang-undang.
“Semua pemberi pinjaman wang perlu mendapatkan lesen sah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Mereka juga wajib mematuhi undang-undang, termasuk tidak menawarkan pinjaman secara dalam talian atau di luar premis,” katanya.-KOSMO! ONLINE.