PETALING JAYA – Program Pendidikan RELeaf pertama anjuran Nestle Malaysia di Sekolah Kebangsaan Abaka, Tawau, Sabah telah melibatkan lebih 100 murid dan guru berganding bahu dengan sukarelawan Nestle Cheras menanam pokok dan menyertai aktiviti interaktif lain.
Projek yang mendapat kerjasama daripada Yayasan Sime Darby, SD Guthrie Berhad dan Pusat Pemuliharaan & Penyelidikan Hutan Hujan Tropika, program ini melibatkan murid-murid prasekolah dan sekolah rendah menanam spesies pokok asli di kawasan sekolah, termasuk pokok Ketapang, Jambu Air, Taisai Paya, Simpur, Sentang dan Obah Jangkang.
Spesies pokok telah dipilih khas untuk meningkatkan kepelbagaian biologi dan mewujudkan keseimbangan ekologi, sambil menghijaukan kawasan sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, pihaknya komited untuk membina masa depan yang lestari demi manfaat insan sejagat dan bumi kita.
“Sebagai sebahagian daripada strategi Positif Hutan yang dizahirkan menerusi Projek RELeaf, dan program pendahulunya Projek Rileaf, kami sudah menanam tiga juta pokok setakat ini.
“Pencapaian ini sesungguhnya menunjukkan kemajuan positif ke arah matlamat kami menanam empat juta pokok di seluruh Malaysia menjelang suku kedua atau ketiga 2025 dan juga sokongan berterusan kami kepada kempen kebangsaan, Penghijauan Malaysia, dengan sasaran menanam 100 juta pokok,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah beliau, dengan memperluas program untuk meliputi murid-murid menerusi Program Pendidikan RELeaf, pihaknya ingin mendorong mereka untuk menjadi penjaga alam sekitar generasi baharu dalam usaha melindungi ekosistem berharga Malaysia.
“Inisiatif ini mencerminkan keyakinan kami dalam kuasa kerjasama. Di samping itu, pendidikan generasi muda menjadi kunci kepada usaha menyelesaikan cabaran-cabaran utama seperti penebangan hutan,perubahan iklim dan kehilangan kepelbagaian biologi.”
Satu aktiviti penting Program Pendidikan RELeaf adalah enam stesen pembelajaran interaktif yang direka khas untuk memberikan pendidikan alam sekitar yang bermakna kepada murid-murid.
Para peserta menerima demonstrasi praktikal tentang penanaman dan penjagaan pokok, belajar tentang spesies asli menerusi permainan kuiz menarik dan meneroka peranan kritikal yang dimainkan oleh pokok untuk menghasilkan oksigen dan menyokong hidupan liar.
Murid-murid juga belajar tentang pengurusan sisa yang bertanggungjawab menerusi aktiviti amali termasuk bengkel kitar semula dan Cabaran Menara Sampah. -KOSMO!ONLINE