TEMERLOH – Keputusan seri 3-3 dengan Perak FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi sudah cukup untuk membawa Sri Pahang ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.
Bagaimanapun Tok Gajah wajar berterima kasih kepada tonggak importnya, Manuel Hidalgo yang cemerlang merakam hatrik bagi melengkapkan kejayaan 4-3 secara agregat.
Menanti Sri Pahang pada aksi empat terbaik adalah antara Sabah FC dan Kuching City yang akan turun ke gelanggang malam esok.
Terdahulu, Hidalgo hanya memerlukan lima minit untuk membuka jaringan namun kelebihan itu hanya bertahan empat minit apabila menyaksikan Wan Zack Haikal Wan Nor kembali menyamakan kedudukan.
Tindakan keras Firdaus Saiyadi ke atas Sean Selvaraj mengundang padah apabila Sri Pahang dihadiahkan penalti dan kesempatan pada minit ke-30 itu tenang disempurnakan oleh Hidalgo.
Aksi babak pertama makin menarik apabila Jespe Nyholm kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-42 namun tuan rumah sekali lagi diberikan penalti pada masa kecederaan, juga berjaya disempurnakan oleh Hidalgo.
Perak FC yang memerlukan dua gol untuk layak terus menggandakan asakan dan keputusan pengendalinya, Yusri Che Lah memasukan Ahmad Daniel Hakimi membuahkan hasil apabila sepakan jarak jauh pemain itu pada minit ke-54 berjaya mengelirukan dua pertahanan lawan untuk memastikan jaringan ketiga buat pelawat. – KOSMO! ONLINE