KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) nyata bukan tandingan sebenar buat Kuala Lumpur Rovers apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Cabaran musim ini.
Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi, KDA FC sekali lagi mencatatkan kemenangan 3-0 bagi mengesahkan kejayaan 6-0 secara agregat.
Perbezaan kualiti antara kedua-dua pasukan menyaksikan penguasaan penuh oleh KDA FC yang turut dipalit kecewa kerana gagal menyudahkan beberapa peluang terbaik.
Kekebalan KL Rovers akhirnya musnah apabila KDA FC membuka jaringan menerusi Hasbullah Abu Bakar pada minit terakhir babak pertama.
Skrip hampir sama terus berulang di separuh masa kedua yang menyaksikan tuan rumah lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.
Minit ke-75, KDA FC sekali lagi mengukir senyuman apabila memperoleh gol kelima menerusi Aiman Afif Md Afizul sebelum Amirul Hisyam Awang Kechik melengkapkan gol ketiga pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE