GEORGE TOWN – Perjalanan membawa pulang dua pemuda yang ditemui selamat di perairan Aceh, Indonesia selepas hanyut dari perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang sejak Isnin lalu dijangka mengambil masa kira-kira 10 jam.
Tempoh membawa pulang kedua-dua mangsa iaitu Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan Nor Hasrul Abdullah, 25, dihitung secara dua hala, namun ia bergantung pada keadaan laut dan cuaca ketika ini.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, kedua-dua mangsa yang ditemui dalam keadaan selamat dan stabil kini dalam perjalanan pulang dari Indonesia ke Malaysia, hari ini.
“Sejurus menerima maklumat terkini mengenai keadaan mangsa, sebuah kapal KM BURAU diarahkan serta-merta ke koordinat di sempadan perairan bagi tujuan pengambilan mangsa.
“Perjalanan KM BURAU yang menjangkau hampir 60 batu nautika (sehala) itu akan mengambil masa untuk tiba di perairan Malaysia bergantung kepada faktor-faktor cuaca di laut,” katanya di sini, hari ini.
Beritahu Razali, mangsa sempat berkomunikasi dan memaklumkan melalui anggota penguat kuasa yang mereka berada dalam keadaan baik dan masih selamat.
“Mereka dijangka tiba di perairan Malaysia awal pagi esok dengan menaiki kapal Maritim Malaysia. Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian dan keadaan mangsa akan dimaklumkan dari masa ke masa,” ujarnya.
Satu sidang akhbar akan diadakan di Limbongan Batu Maung pada pukul 8 pagi esok. – KOSMO! ONLINE