NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi sohor Kelantan dan suaminya yang merupakan antara enam suspek ditahan bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok di sini pada 1 November lalu hanya berjumpa semasa pihak polis datang ke penjara untuk menjalankan siasatan.
Pengarah Penjara Wilayah Narathiwat, Superintendan Surin Chanthep berkata, kedua-dua mereka masih dalam tahanan dan siasatan lanjut terhadap kes mereka masih dijalankan.
Menurutnya, buat masa ini, mereka hanya berjumpa semasa proses siasatan dijalankan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap kes mereka dan hanya boleh bertemu semasa sesi soal siasat sahaja.
“Kebiasaannya, pegawai penyiasat akan membenarkan mereka bertemu selama kira-kira 15 minit semasa proses siasatan dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Wilayah Narathiwat di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Surin memberitahu, tahanan suami isteri yang ditempatkan di Penjara Wilayah Narathiwat hanya dibenarkan untuk berjumpa selepas tiga bulan mereka menjalani perintah tahanan di penjara itu.
Menurutnya, sebelum tempoh itu, pasangan suami isteri tidak diberikan ruang untuk berjumpa melainkan prosiding di mahkamah atau proses siasatan dijalankan.
“Kebenaran bertemu selepas tempoh tiga bulan itu diberikan sebanyak dua kali sebulan di dalam kawasan sekitar penjara.
“Pihak Penjara Wilayah Narathiwat memberi kebenaran hanya kepada pasangan suami isteri untuk bertemu dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas pandemik Covid-19.
“Semua tahanan suami isteri diberikan peluang itu termasuk tahanan dari Malaysia. Ruang tersebut diberikan kepada mereka agar dapat meluangkan masa bersama-sama meskipun berada di balik tirai besi,” katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Wilayah Narathiwat, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Surin memberitahu, inisiatif itu dilakukan oleh pihak penjara sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan dan berkongsi masalah dengan pasangan masing-masing semasa tempoh tahanan.
Menurutnya, beliau bercadang untuk memberi kebenaran kepada pasangan yang beragama Islam untuk dapat menunaikan solat bersama-sama selepas ini.
“Selain itu, kita juga berhasrat untuk memberi kebenaran kepada pasangan itu dapat memakai pakaian yang cantik sebelum menunaikan solat bersama-sama.
“Sekiranya diberikan kebenaran daripada pihak atasan, kita akan memulakan program itu pada tahun depan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE