PETALING JAYA – Keterujaan sepasang suami isteri menimang cahaya mata diuji apabila anak perempuannya, Nur Anggun Eshal Shakir Zufayri berusia 11 bulan disahkan mengalami penyakit kegagalan fungsi organ hati (Billiary Atresia).
Nur Anggun disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia dua bulan selepas menjalani proses ultrasound di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Noor Ain Ardina Azohan, 23, berkata, hasil proses ultrasound itu menunjukkan terdapat masalah serius pada saluran hempedu dan hati Nur Anggun yang seterusnya memerlukan pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di China.
“Sejak lahir, Anggun mengalami prolonged jaundice dan warna najisnya juga tidak normal. Dia telah menjalani satu pembedahan pada usia dua bulan untuk membuang saluran hempedu dengan tujuan melambatkan kerosakan hati.
“Bagaimanapun pembedahan tersebut gagal apabila selepas sebulan Anggun mula mengalami pendarahan ketika membuang air besar dan perlu menjalani rawatan di hospital setiap bulan untuk rawatan lanjut,” katanya di sini semalam.
Noor Ain yang juga suri rumah berkata, anaknya disaran menjalani pembedahan di Hospital Renji, Shanghai, China oleh doktor yang merawat mereka berdasarkan kepakaran pasukan perubatan di sana.
“Saya sebagai penderma telah diminta menjalani pelbagai ujian darah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Sebahagian daripada hati saya, sebanyak 20 peratus, akan didermakan kepada anak saya, manakala hatinya yang rosak akan dikeluarkan,” ujarnya.
Tambahnya, kos pembedahan yang tinggi termasuk rawatan, perubatan, dan keperluan sepanjang berada di Shanghai menjadi cabaran terbesar kerana setakat ini, hanya RM10,000 berjaya dikumpulkan.
Noor Ain berkata, suaminya yang bekerja sebagai Shakir Zufayri Muhammad Afandi, 23, dengan pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan agak mustahil untuk dia menyediakan wang sebanyak itu bagi tujuan pembedahan.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Anggun boleh menghubungi ibunya di talian 010-449 6985 dan bapanya di talian 013-300 0578 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Maybank, Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia nombor 5122 6890 0405.