VIENNA – KTM menegaskan komitmennya untuk terus bersaing dalam perlumbaan MotoGP meskipun berdepan tekanan daripada pemiutang untuk menarik diri sebagai langkah penjimatan kos.
Jenama utama di bawah Pierer Mobility Group itu menafikan dakwaan bahawa masa depan mereka dalam perlumbaan MotoGP terancam selepas laporan daripada agensi pengurusan hutang, Alpenlandischer Kreditorenverband (AKV).
Selepas mesyuarat pertama antara KTM dan pemiutang di Mahkamah Wilayah Ried im Innkreis, cadangan penarikan diri daripada perlumbaan MotoGP, Moto2 dan Moto3 sedang dirancang sebagai langkah mengurangkan kos operasi.
KTM menegaskan bahawa sukan permotoran tetap menjadi sebahagian penting daripada rancangan pemulihan mereka.
“Hari ini adalah detik penting untuk KTM dengan pengesahan proses penstrukturan semula kami. Langkah ini memastikan rancangan kami terus maju dan kami dengan bangga mengesahkan bahawa sukan permotoran kekal sebagai teras utama rancangan ini
“KTM berdiri teguh dengan komitmen terhadap sukan permotoran. Kami ulangi kenyataan kami untuk 2025 bahawa kami akan terus berlumba dalam MotoGP,” kata KTM dalam satu kenyataan rasmi.
KTM kini sedang mencari pelaburan luar selepas mencatat hutang berjumlah €2.9 bilion (RM13.58 bilion) akibat kejatuhan jualan motosikal awam mereka.
Malah, pembangunan jentera RC16 bagi MotoGP turut dihentikan baru-baru ini bagi mengurangkan beban kewangan.
Proses penstrukturan semula yang bermula pada Jumaat lalu dijangka membantu KTM bangkit semula dan berada pada kedudukan kewangan yang lebih kukuh. – AGENSI