fbpx

Lori tangki melintang jalan, trafik sesak lebih 6km ke Terowong Menora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN lori tangki yang melintang jalan menyebabkan kesesakan lebih enam kilometer di Kilometer 264.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara menuju Terowong Menora. - Foto IHSAN PDRM

KUALA KANGSAR – Laluan lebuh raya dari Ipoh ke Terowong Menora mengalami kesesakan lebih enam kilometer (KM) susulan kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan tiga kereta pada pukul 5.52 petang tadi.

Kemalangan di Kilometer 264.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara itu menyebabkan lori tangki tersebut melintang di tengah lebuh raya dan menghalang laluan.

Plus Malaysia Berhad (Plus) menerusi aplikasi X memaklumkan, kejadian itu mengakibatkan semua lorong arah utara terhalang dan aliran trafik tidak bergerak sejauh lebih 6.5KM.

Menurut Plus, kerja-kerja pengalihan sedang dijalankan dan orang ramai dinasihatkan mematuhi papan tanda trafik di lokasi kejadian selain menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan lebih teruk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemandu lori tangki berusia 46 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kejadian berlaku selepas kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melintang jalan. Semua lorong ditutup sementara untuk kerja-kerja pengalihan. Lalu lintas di lokasi arah utara kini berada di skala lima dan cuaca baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI