ARAU – Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditahan selepas memecahkan pasu bunga di hadapan Istana Arau, di sini semalam.
Bercakap kepada Kosmo!, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, Tangkapan ke atas lelaki tempatan berusia 42 tahun itu dibuat anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perlis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Arau dan Balai Polis Arau.
“Suspek mengaku memecahkan pasu bunga di hadapan Istana Arau ketika soal siasat dilakukan dan dia ditahan sejurus perkara tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa. Polis merampas sehelai baju dan seluar jeans,” katanya hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek bebas pengaruh dadah dan mempunyai dua rekod jenayah di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan.
Semalam, tular di media sosial seorang lelaki menolak jatuh dan merosakkan pasu bunga yang menghiasi landskap bahu jalan sekitar Istana Arau.- KOSMO! ONLINE