KUANTAN – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak seminggu lalu terjawab apabila mangsa ditemukan meninggal dunia dalam kereta jenis Perodua Viva di tempat letak kenderaan sebuah restoran nasi Kerabu di Sungai Isap di sini semalam.
Mangsa, Safri Mohd. Ali, 55, dari Kampung Hijrah di sini dilaporkan hilang sejak 13 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tertunduk di tempat duduk pemandu pada pukul 4.15 petang.
“Siasatan awal mendapati kereta itu diletakkan di lokasi tersebut sejak seminggu lalu. Orang ramai kemudian membuat pemeriksaan dan terhidu bau busuk dari dalam kereta berkenaan.
“Setelah ditinjau melalui cermin hadapan terdapat lelaki lengkap berpakaian tidak sedarkan diri di dalamnya,” katanya hari ini.
Menurutnya, pada pukul 7.35 malam anggota forensik tiba di lokasi untuk membuat pemeriksaan. Polis menjumpai telefon bimbit dan beg galas milik mangsa.
“Semakan mendapati mangsa merupakan Orang Hilang (OH) yang dilaporkan keluar dari rumahnya pada 13 Disember lalu. Pengecaman mayat mangsa telah dibuat oleh ahli keluarga,” katanya.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.- KOSMO! ONLINE