PETALING JAYA – Pempengaruh yang terpalit dengan isu percutian di Korea Selatan, Kimseri Eina akan membuat siaran langsung di TikTok pada malam ini bagi menjelaskan isu tular berkait dirinya.
Perkara itu dimaklumkan oleh wanita tersebut menerusi kenyataan dimuat naik pada Instagram.
“Untuk menjawab dan menerangkan isu yang tular kini, saya Kimseri sedia untuk membuat siaran ‘live’ di TikTok saya pada waktu dan tarikh berikut.
“Tarikh 22 Disember (hari ini), waktu 10 malam waktu Malaysia dan platform TikTok Kimseri_eina.
“Saya merendahkan diri memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan akan menerangkan segala isu yang sedang tular kini menerusi platform tersebut,” katanya.
Terdahulu, tular di laman media sosial TikTok video seorang wanita yang mendakwa dirinya bersama rombongan terkandas di lapangan terbang selepas tiket penerbangan pulang ke tanah air yang dijanjikan oleh pempengaruh dikenali sebagai Kimseri tidak wujud.
Wanita itu mendakwa telah membuat semakan di kaunter tiket, namun namanya bersama rombongan tidak tersenarai dalam rekod tempahan penerbangan.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, orang ramai yang mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik seorang pempengaruh yang berpangkalan di Korea Selatan diminta tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dipetik berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE